Iran kutuk Israel langgar gencatan senjata di Lubnan

Iran kutuk Israel langgar gencatan senjata di Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran pada Jumaat mengecam serangan yang dilancarkan Israel di selatan Lubnan, kawasan yang menjadi kubu kuat sekutunya, Hezbollah.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, dalam satu kenyataan menyifatkan serangan itu sebagai ‘pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan’.

Semalam, Lubnan memaklumkan serangan Israel mengorbankan seorang individu dan mencederakan tujuh yang lain, manakala tentera rejim mendakwa tindakannya menyasarkan Hezbollah serta kumpulan sekutu.

Presiden Lubnan, Joseph Aoun, berkata serangan itu turut mengenai kemudahan awam dan mengecam tindakan Israel yang disifatkannya sebagai pelanggaran terhadap gencatan senjata yang dimeterai tahun lalu.

Teheran merupakan penyokong utama Hezbollah, namun kumpulan itu kini semakin lemah selepas konflik terbaharu dengan Israel serta kejatuhan Bashar al-Assad di Syria, yang sebelum ini menyediakan laluan darat penting antara Lubnan dan Iran.

Perkembangan itu turut menjadi tamparan kepada Iran sendiri, yang sebelum ini turut disasarkan oleh serangan udara Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap kemudahan nuklearnya sepanjang perang 12 hari dengan Israel tahun ini.

Hezbollah dan Israel mencapai gencatan senjata pada November lalu selepas lebih setahun berbalas serangan yang memuncak kepada dua bulan peperangan terbuka.

Namun, Israel terus melancarkan pengeboman di wilayah Lubnan sejak itu.

Baqaei turut menuduh Perancis dan AS, yang menjadi penjamin kepada perjanjian gencatan senjata itu, bertindak ‘pasif dan terus berlembut’ dengan Israel berhubung pelanggaran berulang terhadap perjanjian tersebut.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN