BANGI: Program Intelek Seni 2025 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dapat memperkukuhkan kefahaman masyarakat terhadap budaya dan nilai kearifan tempatan.
Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, penganjuran program dengan kerjasama Pusat Kebudayaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diadakan kelmarin itu telah menghimpunkan pakar-pakar akademik yang membincangkan tajuk Kosmologi Melayu Dari Sudut Kearifan Tempatan Masyarakat.
Katanya, program yang dianjurkan di Panggung Seni, UKM di sini itu menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran tentang seni budaya warisan tempatan daripada pelbagai sudut pandangan tokoh serta penggiat seni budaya.
“Program ini bukan sahaja memperkaya wacana akademik seni dan budaya malah turut memperkukuh semangat cintakan warisan tempatan terutama dalam kalangan belia.
“Kupasan mengenai kosmologi Melayu membuka ruang kepada masyarakat memahami sistem kepercayaan dan pandangan dunia Melayu yang membentuk cara hidup, nilai dan hubungan mereka dengan alam serta masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, kosmologi Melayu bukan sekadar konsep falsafah sebaliknya menjadi kerangka pemikiran yang mempengaruhi identiti dan kearifan masyarakat Melayu secara menyeluruh.
“Program kali ini menampilkan lima panel jemputan terdiri daripada ahli akademik dan tokoh budaya yang mengupas kaitan kosmologi Melayu dengan kearifan tempatan dalam memelihara adat serta warisan bangsa.
“Antara aspek dibincangkan termasuk penerapan nilai kesantunan, gotong-royong dan kebersamaan dalam kehidupan masyarakat Melayu selain melihat evolusi budaya itu di rantau alam Melayu daripada perspektif Islam dan sejarah peradaban,” katanya.
Menurut Mohd. Amran, JKKN menerusi program itu terus komited memperluas penyebaran ilmu berkaitan seni dan budaya dalam usaha memelihara, memulihara serta memperkasakan warisan negara agar terus segar di jiwa generasi baharu.
Beberapa tokoh ilmuwan dan ahli akademik terkemuka turut hadir dalam program itu antaranya Presiden World Malay Polynesian Organisation, Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hisham Wan Teh serta Kepala Pusat Riset Manuskrip, Literatur dan Tradisi Lisan, Organisasi Arkeologi, Sastera Indonesia, Dr. Sastri Sunarti.
Turut menjadi panel ialah Pensyarah Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu UKM, Dr. Muammar Ghaddafi Hanafiah, Penolong Pengarah Kanan JKKN, Dr. Husri Morni dan penulis serta pengkaji bebas, Syed Mohd. Zakir Syed Othman Al-Yahya.
Masing-masing membincangkan perspektif mengenai kosmologi Melayu dan kaitannya dengan kearifan tempatan.-UTUSAN.










