JAKARTA: Kerajaan Indonesia menerima semula aset bernilai 13 trilion rupiah (RM3.3 bilion) yang dirampas dalam kes rasuah minyak sawit mentah (CPO) melibatkan tiga syarikat besar.
Aset tersebut diserahkan Pejabat Peguam Negara dalam satu majlis yang turut dihadiri Presiden Prabowo Subianto pada Isnin, menandakan kejayaan besar Indonesia memperkukuh penguatkuasaan undang-undang dan memulihkan kerugian awam.
Prabowo berkata, wang yang dikembalikan itu harus digunakan untuk inisiatif pembangunan rakyat, termasuk menaik taraf sekolah dan pembangunan kampung pesisir.
“Dengan 13 trilion rupiah, kita boleh membaik pulih lebih 8,000 sekolah,” kata Prabowo ketika berucap pada majlis tersebut di Pejabat Peguam Negara di Jakarta.
Beliau turut memaklumkan, dana yang dirampas itu juga boleh digunakan untuk membiayai pembangunan sekitar 600 perkampungan nelayan, sekali gus memanfaatkan lima juta penduduk pantai.
Dalam ucapannya, Prabowo menegaskan salah laku dalam sektor strategik seperti minyak sawit bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada negara, malah turut membebankan rakyat.
Beliau mengulangi komitmen kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang dengan tegas dan adil, bagi melindungi kekayaan negara serta memastikan keuntungan ekonomi diagihkan secara saksama.
Presiden juga menekankan kepentingan memperketat penguatkuasaan terhadap perlombongan haram dan penyeludupan komoditi strategik, yang sekian lama merugikan negara.
Dana yang diserahkan kelmarin merupakan sebahagian daripada 17.7 trilion rupiah yang diperintahkan mahkamah sebagai pemulangan wang rampasan daripada tiga syarikat, Permata Hijau Group, Musim Mas Group dan Wilmar Group, yang disabitkan bersalah kerana mengeksport minyak sawit secara haram.
Daripada jumlah itu, Wilmar Group melunaskan keseluruhan bahagiannya, manakala Permata Hijau Group dan Musim Mas Group masih dalam proses menunaikan bayaran mengikut arahan mahkamah.- AGENSI