Hogoh Jelai: Bila slogan jadi bayang, bukan semangat - Utusan Malaysia

Hogoh Jelai: Bila slogan jadi bayang, bukan semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM pentas politik, ada dua jenis pemain, yang sibuk menjerit “hogoh” tanpa arah dan yang diam-diam menggempur dengan hasil. “Hogoh Jelai” kononnya mahu meniru semangat “Hogoh Pahang”, tapi malangnya hanya meniru bunyi, bukan isi.

Yang satu melaung di tepi jalan, yang satu membina jalan. Yang satu sibuk bergambar, yang satu sibuk bekerja. Yang satu meniru gaya, yang satu mencipta kejayaan.

Persoalannya mudah, kalau tak faham semangatnya, mengapa mahu meniru slogannya? “Hogoh” bukan sekadar perkataan, ia merupakan lambang gerak kerja, bukan gerak mulut.

Meniru tanpa faham ibarat pakai baju orang lain nampak besar, tapi longgar di jiwa. Jangan jadi bayang kepada kejayaan orang lain, sedangkan bayang tak pernah beri cahaya

Slogan kosong, rakyat Jelai tidak terpedaya

Kempen Hogoh Jelai yang dibawa oleh Pas dan Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai cubaan meniru kejayaan Hogoh Pahang, kononnya untuk menarik sokongan pengundi luar bandar. Namun, rakyat Jelai bukan sekadar penonton dalam politik, mereka adalah pengundi yang cukup matang, berpengalaman dan tidak mudah dipengaruhi oleh slogan kosong tanpa isi.

Walaupun kempen ini cuba mencipta momentum di media sosial, realitinya di lapangan jauh berbeza. Himpunan yang dianjurkan tidak mencetuskan semangat, malah gagal membina gelombang politik yang bermakna. Rakyat Jelai melihat kempen ini sebagai usaha meniru tanpa memahami konteks tempatan, budaya setempat, dan keperluan sebenar pengundi.

Bagi mereka, politik bukan sekadar retorik. Mereka menilai berdasarkan rekod, keikhlasan dan keupayaan sebenar untuk membawa perubahan. Maka tidak hairanlah apabila Hogoh Jelai menjadi bahan gurauan, satu slogan yang tiada arah, tiada isi, dan akhirnya tiada hasil. Pendek kata, rakyat Jelai tidak terpedaya. Mereka tahu membezakan antara semangat tulen dan gimik politik.

Hogoh Pahang, jenama kejayaan negeri

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, Hogoh Pahang lahir daripada idea besar semasa Tahun Melawat Pahang 2017, yang disusun secara terancang oleh kerajaan negeri.

Menurutnya yang kini Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, ia bukan sekadar tagline promosi pelancongan, tetapi manifestasi semangat dan identiti rakyat Pahang.

“Di bawah kepimpinan negeri yang mantap dan proaktif, Hogoh Pahang bukan sahaja memacu pertumbuhan sektor pelancongan, malah mengukuhkan ekonomi luar bandar, membuka peluang pekerjaan, dan memperkukuh imej negeri di peringkat nasional. Ia adalah jenama kejayaan, dibina dengan kerja keras, kesepakatan dan hasil nyata yang dirasai rakyat negeri ini,” katanya.

Jelai, lambang kepimpinan, bukan ujian slogan

Rakyat Jelai bukan calang-calang. Mereka sudah lama bijak menilai antara pemimpin yang bekerja dan pemimpin yang hanya berjanji. Lebih-lebih lagi, Jelai ialah kawasan Menteri Besar Pahang sendiri, kawasan yang sinonim dengan pembangunan, kemajuan dan kestabilan. Seperti mana kata orang di situ, “Orang Jelai dah kenal sapa Pas, apatah lagi, Jelai ni kawasan MB (Menteri Besar).”

Maknanya jelas, datanglah dengan slogan apa pun, rakyat di kawasan itu tahu menilai siapa yang benar-benar berkhidmat untuk mereka.

Hogoh Jelai memalukan perkataan “Hogoh”

Slogan Hogoh Jelai bukan sekadar gagal malah memalukan perkataan “hogoh” yang selama ini menjadi lambang kebanggaan rakyat Pahang. Slogan itu kehilangan makna kerana digunakan tanpa jiwa, tanpa kerja, tanpa hasil.

Hogoh Pahang sangat berjaya kerana ia datang daripada semangat sebenar, kerja kuat, kepimpinan jelas, dan keikhlasan untuk rakyat. Hogoh Jelai gagal kerana ia hanya mahu menumpang nama tanpa usaha.

Pahang akan terus mara dengan visi dan kepimpinan kukuh. Dan di Jelai, rakyat sudah buat keputusan, mereka tidak perlukan peniru, mereka perlukan pemimpin yang bekerja. Kita tinggu “Hogoh Benta” pula seperti dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN