GHF kehabisan dana, gantung operasi di Gaza

GHF kehabisan dana, gantung operasi di Gaza

SEORANG budak lelaki Palestin membawa kotak bantuan yang diterima daripada pusat agihan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) berhampiran koridor Netzarim.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) menggantung operasinya di wilayah itu susulan pelaksanaan gencatan senjata, ketika agensi antarabangsa lain berlumba-lumba mempercepatkan penghantaran bantuan kemanusiaan.

Kumpulan bantuan yang dikendalikan kontraktor keselamatan Amerika Syarikat (AS) dan disokong Israel itu kini dilaporkan kehabisan dana serta berdepan masalah logistik serius untuk meneruskan operasi.

Sepanjang enam bulan lalu, GHF menerima kecaman hebat daripada pelbagai pertubuhan bantuan antarabangsa yang menuduhnya mengendalikan sistem agihan secara berbahaya kepada penduduk Palestin.

Israel sebelum ini menyokong sistem pengagihan baharu yang dikendalikan GHF dengan tujuan melemahkan pejuang Hamas, melalui penyaluran bantuan tanpa melibatkan kumpulan tersebut.

Sejak mula beroperasi pada Mei lalu, GHF mengedarkan berjuta-juta kotak makanan kepada penduduk di Gaza.

Namun, operasi itu mendorong ribuan penduduk Palestin yang terdesak mendapatkan bantuan melalui laluan bahaya, sebahagiannya dikawal oleh tentera Israel menyebabkan ratusan terkorban akibat tembakan rejim.

Jurucakap kumpulan itu menafikan kematian berlaku di kawasan pengagihan bantuan, sebaliknya mendakwa tentera Israel melepaskan tembakan jauh dari lokasi berkenaan.

Walaupun berdepan pelbagai kritikan, organisasi itu meneruskan operasinya sehingga gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa awal bulan ini.

“GHF diminta menghentikan operasi semasa fasa pembebasan tebusan yang masih berlangsung,” kata organisasi itu dalam satu kenyataan minggu lalu.

Dana operasi yayasan itu dijangka habis sebelum hujung tahun ini, menurut jurucakap kumpulan berkenaan.

Menurut dua pegawai AS dan sumber yang mengetahui perkara itu, usaha GHF untuk mendapatkan sokongan kewangan tambahan daripada Amerika dan negara lain juga gagal.

GHF sebelum ini mendakwa menerima AS$30 juta (RM126 juta) daripada AS dan kira-kira AS$100 juta (RM422 juta) daripada sebuah ‘negara penderma’ yang tidak didedahkan.– NYTimes

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN