MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menyatakan sokongan penuh terhadap kepengerusian Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan memperakui peranan penting Malaysia dalam memastikan ASEAN kekal sebagai blok serantau yang stabil dan proaktif.
Katanya, tema kepengerusian Malaysia iaitu Inklusiviti dan Kelestarian mencerminkan keazaman negara anggota ASEAN untuk membina rantau yang bersatu, berdaya tahan dan responsif terhadap keperluan rakyatnya.
“Filipina menyokong sepenuhnya kepengerusian Malaysia dan visinya untuk ASEAN yang mempromosikan pembangunan bermakna, inklusif dan mampan.
“Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan ASEAN kekal relevan dan proaktif dalam menghadapi cabaran serantau,” tegas Marcos sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pagi tadi.
Marcos Jr menekankan, sidang kali ini memberi peluang kepada semua pemimpin ASEAN untuk menegaskan komitmen terhadap prinsip ASEAN Centrality, terutama dalam menangani isu-isu kritikal seperti Laut China Selatan, situasi di Myanmar, keselamatan maritim, perubahan iklim, serta ketidaktentuan ekonomi global.
“Malaysia sebagai pengerusi memainkan peranan penting dalam memastikan ASEAN bukan sahaja bersatu, tetapi juga bertindak secara proaktif untuk kepentingan bersama rakyat Asia Tenggara,” ujarnya.
Sidang kemuncak tahun ini juga menyaksikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai ahli ASEAN, langkah yang disifatkan Marcos sebagai simbol kematangan dan keterangkuman ASEAN, hasil kepimpinan bijak Malaysia sebagai tuan rumah.
Selain itu, Malaysia akan menyerahkan tanggungjawab kepengerusian kepada Filipina, menandakan permulaan persiapan Manila untuk menerajui ASEAN pada tahun hadapan.
“Kekuatan ASEAN bergantung kepada kestabilan dan kemakmuran setiap anggotanya. Malaysia membuktikan kepimpinan yang bijak dapat mengekalkan ASEAN sebagai blok serantau yang stabil, bersatu dan proaktif dalam menangani cabaran semasa,” katanya.
Beliau berkata, sokongan Malaysia bukan sahaja penting dari segi diplomasi serantau, tetapi juga menggalakkan kerjasama ekonomi, keselamatan maritim, dan pembangunan lestari, sekali gus memastikan ASEAN terus relevan di peringkat global.
“Dengan Malaysia di barisan hadapan, ASEAN berada di landasan yang kukuh untuk menjadi rantau yang berdaya saing, mampan, dan berpusat kepada rakyat,” katanya.










