KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, mengumumkan bantuan khas berjumlah RM1 juta kepada pemenang Kategori Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK).
Beliau berkata, ganjaran istimewa itu membuktikan sokongan kerajaan untuk membawa filem tempatan ke peringkat global.
“Saya dengan penuh sukacitanya mengumumkan bahawa pemenang kategori Filem Terbaik FFM34 akan menerima sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM 1 juta.
“Ini bukan sekadar ganjaran kewangan tetapi komitmen kerajaan untuk melihat karya unggul Malaysia terus melangkah jauh.
“Karya yang menang bukan hanya untuk dikenang, tetapi juga disokong untuk berkembang untuk mencapai penonton global,” katanya.
Teo ditemui Utusan Malaysia di Majlis Perasmian dan Pengumuman Top 5, Festival Filem Malaysia ke-34, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi perkembangan positif kutipan pecah panggung filem tempatan yang memperoleh RM165.89 untuk 39 buah filem.
“Sehingga 30 Jun lalu, industri perfileman tempatan telah mencatatkan kutipan box office berjumlah RM162.89.
“Ini merupakan peningkatan ketara berbanding RM125.28 juta pada 2024 dan RM102.66 juta pada 2023,” katanya.
Jelas Teo, pencapaian tersebut membuktikan filem tempatan mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.
“Filem seperti Blood Brothers, Sheriff dan Ejen Ali berjaya menembusi pasaran Singapura, Indonesia, Brunei dan Kemboja, satu fenomena baharu dalam sinema ASEAN,” katanya.
Selain itu, pemberian hadiah berjumlah RM20,000.00 dalam bentuk sewaan dan
penggunaan fasiliti FINAS turut diberikan untuk tujuh kategori utama iaitu Pengarah Harapan, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pengarah Terbaik, Dokumentari
Terbaik, Filem Terbaik, serta Filem Pendek Terbaik.
Malah penghargaan khas juga akan diberikan kepada tokoh perfileman negara seperti Seniwati Datin Rosnani Jamil, Seniwati Ruminah Sidek, Dato’ Rahim Razali serta Othman Hafsham menerusi Program Tribute: Penghargaan kepada Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara.
Malam kemuncak Anugerah FFM34 akan berlangsung pada 1 November 2025 di Auditorium Seri Angkasa Angkasapuri Kota Media. -UTUSAN