Bekas pegawai bank didakwa terima suapan lebih RM177,000

Empat bekas pegawai bank didakwa terima suapan lebih RM177,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat bekas pegawai bank dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 27 pertuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM177,769.39 bagi membantu memproses pinjaman peribadi pelanggan me­lebihi had kelayakan di beberapa institusi kewangan.

Bagaimanapun semua tertuduh, Noor Iskandar Aziz, Muhammad Najmi Mu’az Pekan, Amir Hafizi Anuar dan Syazwan Akmal Badran mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rosli Ahmad dan Hakim Azura Alwi.

Mereka didakwa terlibat menerima suapan berjumlah serendah RM1,004 sehingga RM92,173 dalam transaksi berasingan daripada beberapa pihak bagi memproses permohonan pinjaman peribadi pelanggan syarikat ber­kenaan di institusi kewangan lain sehingga menyebabkan pelanggan memperoleh pinjaman me­lebihi had kelayakan.

Kesemua pertuduhan berbeza tersebut didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Se­langor sekitar Oktober 2021 dan Ogos 2024.

Pertuduhan terhadap keempat-empat tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh ma­sing-masing diikat jamin antara RM15,000 dan RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 20 November ini bagi sebutan semula kes Noor Iskandar, manakala 10 Disember ini bagi Muhammad Najmi dan Amir Hafizi serta 3 Disember ini untuk Syazwan Akmal.

Pada Januari lalu, media melaporkan lebih 4,000 penjawat awam menjadi mangsa sindiket rasuah dan pengubahan wang haram yang didalangi pegawai beberapa institusi kewangan tempatan.

Bahagian Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM sebelum itu melancarkan Op Sky, hasil kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), yang membawa kepada serbuan di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat sekitar Lembah Klang serta penahanan 12 individu bagi membantu siasatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×