RAUB: Di sebalik senyuman seorang pelajar yang melangkah ke menara gading, tersimpan kisah pilu buat Halimaton Shadiah Yudi, 19, anak tunggal dari Kampung Sungai Pasu, Gali di sini.
Ini kerana gadis itu terpaksa meninggalkan ibu tercinta yang menghidap skizofrenia demi menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah, Melaka.
Halimaton berkata, apa yang paling memberatkan fikirannya adalah ibunya, Rosni Pejor, 58, cuma tinggal seorang diri di rumah.
“Ibu bersatus orang kurang upaya (OKU) mengalami gangguan mental sejak berpisah dengan bapa ketika usia saya enam tahun. Saya tidak tahu di mana dia (bapa) tinggal sekarang.
“Perpisahan bapa dengan ibu merupakan cabaran hebat bagi saya ketika bersekolah apabila ibu mengalami gangguan mental. Kami tinggal di rumah datuk dan saya ke sekolah setiap hari dengan menumpang rakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Halimaton, berkat kesungguhan belajar serta banyak menerima bantuan guru, dia memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan terus membuat permohonan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Saya bersyukur kerana diterima masuk ke UiTM Alor Gajah untuk mengikuti diploma Akademi Pengajian Bahasa (Bahasa Inggeris).
“Saya menanam tekad untuk meneruskan pengajian dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) pada peringkat ijazah nanti.
“Kemasukan ke UiTM Alor Gajah memenuhi cita-cita awal kerana saya cukup berminat dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dan memperoleh ‘A’ dalam subjek ini di peringkat SPM,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan menderita akibat gangguan mental, ibunya sentiasa memberikan perhatian kepadanya dengan berjimat mengumpul wang hasil bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.
“Wang simpanan ibu membolehkan saya membuat persiapan berbelanja pakaian, beg, peralatan pengajian, yuran pendaftaran dan sebuah komputer riba serta sewa kenderaan ke UiTM Alor Gajah, Melaka,” katanya.
Dia juga bersyukur dan berterima kasih kepada kepada wakil rakyat kawasan Dong, Fadzli Mohamad Kamal yang turut memberikan kata semangat serta bantuan kewangan untuk menampung pengajiannya di peringkat awal.-UTUSAN.










