KUALA NERUS: “Setiap kali saya jatuh saya akan bangkit. Ujian adalah guru paling tabah dan janji Allah kepada mereka yang berusaha tidak pernah sia-sia,” kata Nik Izzul Solihin Nik Masrol, 24, yang kini bergelar graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selepas bertarung nyawa melawan penyakit kronik.
Anak sulung daripada empat beradik itu menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Makanan (Perkhidmatan Makanan dan Pemakanan) dengan Kepujian pada Istiadat Konvokesyen UMT ke-23 selepas melalui perjalanan penuh air mata dan ketabahan.
Segalanya bermula pada semester kedua apabila dia dijangkiti Covid-19 yang kemudiannya membawa kepada komplikasi Severe Asthma Allergic dan Anaphylaxis sehingga hidupnya berubah sepenuhnya.
“Hampir setiap semester saya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana serangan alahan teruk dan saya pernah dimasukkan ke ICU sebanyak 13 kali serta ditidurkan 15 kali menggunakan tiub intubasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Walaupun sering lemah dan terbaring di hospital, anak jati Kota Bharu, Kelantan itu tetap menyiapkan tugasan serta menghadiri kuliah secara dalam talian dengan semangat luar biasa.
Nik Izzul terpaksa menangguhkan pengajian selama satu semester demi memulihkan kesihatan, namun dia tidak pernah berputus asa kerana percaya setiap usaha pasti diberi ganjaran.
“Waktu itu saya sangat kecewa, tetapi saya tahu saya perlu memilih antara kesihatan dan masa depan. Saya percaya, Allah tidak akan sia-siakan setiap langkah orang yang berusaha,” katanya.
Nik Izzul berkata, dengan sokongan ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan, beliau kembali ke kampus serta berusaha menebus ketinggalan walaupun terpaksa belajar dalam keadaan berhati-hati dan mengelak pelbagai pencetus alergi, namun semangatnya untuk berjaya tidak pernah luntur.
“Saya cuba untuk tersenyum setiap hari walaupun dalam hati penuh ketakutan. Kadang-kadang hanya Allah yang tahu betapa saya takut jika serangan berlaku lagi. Tapi saya belajar untuk terus kuat kerana masih banyak yang ingin saya capai,” ujarnya.
Kini, setelah berjaya menamatkan pengajian, Nik Izzul menganggap perjalanan getir yang ditempuh sebagai hadiah paling berharga dalam hidupnya.
“Setiap tiub intubasi, setiap malam di ICU bukanlah hukuman, tetapi latihan daripada Allah untuk saya menjadi insan yang lebih sabar dan kuat. Dari gelap saya belajar menghargai terang, dari sakit saya belajar erti kesyukuran,” katanya.
Bagi Nik Izzul, kejayaan itu bukan sekadar segulung ijazah, sebaliknya lambang kecekalan diri, kasih keluarga dan kekuatan iman yang tidak pernah pudar walau diuji berkali-kali.
“Kalau saya mampu berdiri di sini hari ini, sesiapa pun boleh. Janji Allah itu pasti, siapa yang berusaha, pasti akan berjaya,” katanya.
Dari seorang pesakit yang pernah berjuang di ICU, kini Nik Izzul menjadi inspirasi bahawa setiap kegelapan pasti berakhir dengan sinar bagi mereka yang tidak pernah berhenti melangkah. – UTUSAN










