PADANG BESAR: Seramai 350 peserta dari seluruh negara termasuk jurugambar dari Thailand bakal merakamkan gambar ikonik serta merekodkan pelbagai spesies burung bersempena The Northernmost International Bird Race Wang Kelian 2025.
Program memasuki edisi kedua itu bakal berlangsung pada 31 Oktober sehingga 2 November ini, sekali gus bakal menjadi tarikan orang ramai memeriahkan kawasan Wang Kelian.
Bird Race bakal menyaksikan kategori terbuka, agensi, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan pelajar sekolah.
The Northernmost International Bird Race Wang Kelian, Perlis 2025 dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dengan kerjasama Nature Educational Society (NEST) dan Malaysian Nature Society (MNS).
Selain merakamkan gambar, pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Cross Country Run dan MTB Ride yang menarik ratusan penyertaan.
Antara aktiviti menarik lain seperti Pasar Warisan, Jualan Agro Madani serta pameran daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.
Program berkenaan bertujuan mempromosikan aktiviti eko pelancongan sekitar Wang Kelian dan Kaki Bukit serta mengalakkan pelancongan sempadan berikutan penglibatan ramai peserta dari negara jiran berkenaan.-UTUSAN