BUDI95: Kuota 300 liter tidak cukup, penggiat e-hailing, p-hailing rayu kajian semula - Utusan Malaysia

BUDI95: Kuota 300 liter tidak cukup, penggiat e-hailing, p-hailing rayu kajian semula

MOHD. Sharkar Shamsudin (duduk, tengah) bersama lebih 60 wakil penggiat industri gig selepas mesyuarat agung pertama yang diadakan di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penggiat e-hailing dan p-hailing merayu kerajaan mempertimbangkan semula kuota petrol 300 liter sebulan yang ditetapkan menerusi Program Budi Madani RON95 (BUDI95), kerana jumlah itu disifatkan tidak mencukupi untuk menampung keperluan operasi harian mereka.

Kebanyakan penggiat industri terbabit memerlukan antara 600 hingga 700 liter petrol sebulan bagi menjalankan tugas sepenuh masa, khususnya di kawasan bandar yang padat dan berisiko tinggi daripada segi kos bahan api.

Pengerusi Majlis Gig Malaysia (MyGig), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, dalam mesyuarat agong pertama bersama lebih 60 wakil penggiat industri gig semalam, pemandu e-hailing dan p-hailing memaklumkan, kuota 300 liter BUDI95 dilihat tidak selari dengan realiti kerja lapangan buat mereka yang melibatkan perjalanan jauh dan masa operasi panjang.

“Kerajaan diharap menilai semula kadar kuota ini secara lebih inklusif, berdasarkan data sebenar penggunaan petrol oleh pemandu sepenuh masa. Ramai antara mereka terkesan dan terpaksa menanggung kos tambahan yang tinggi.

“MyGig turut mencadangkan agar satu mekanisme khas diwujudkan bagi menilai semula kelayakan dan keperluan penggiat industri secara berkala, agar bantuan yang disalurkan benar-benar memberi impak kepada golongan sasaran,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, semua rakyat Malaysia menerima siling kelayakan bulanan 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 yang berkuat kuasa 30 September lalu. Harga RON95 diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula tarikh pelaksanaan program tersebut manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter.

Dalam pada itu, Mohd. Sharkar berkata, MyGig buat pertama kalinya mengadakan mesyuarat agung yang mengumpulkan lebih 60 wakil penggiat industri gig di ibu negara semalam.

Beliau berkata, majlis tersebut akan terus tampil sebagai platform pemerkasaan baharu yang bakal menjadi perantara kepada lebih 1.2 juta penggiat industri gig di seluruh negara.

“Inisiatif ini bertujuan mengangkat suara komuniti gig yang sering terpinggir daripada arus perdana, sekali gus menyediakan ruang selamat untuk mereka menyuarakan keluhan, berkongsi cabaran dan mengemukakan aduan secara berpusat.

“MyGig akan memastikan setiap hasrat dan keperluan komuniti gig diberi perhatian sewajarnya. Kami percaya, dengan sokongan dasar yang tepat, industri gig mampu berkembang secara mampan dan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara,” katanya.

Menurutnya, MyGig juga akan mengadakan majlis makan malam penghargaan bagi mengiktiraf sumbangan penggiat industri ini yang telah menyumbang kira-kira 23.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Beliau berkata, MyGig menyarankan kerajaan agar segera melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang sudah pun diluluskan di Dewan Rakyat demi memastikan keberkesanan perlindungan dan kebajikan kepada jutaan penggiat ekonomi gig di negara ini.

“Sampai masanya kerajaan bertindak segera, memandangkan golongan pekerja gig kini berada dalam keadaan yang semakin mencabar daripada segi pendapatan, perlindungan sosial dan kestabilan pekerjaan. Ia juga menjadi titik tolak kepada pembentukan ekosistem ekonomi gig yang lebih mampan dan menyeluruh,” katanya.

Mohd. Sharkar dalam pada itu berkata, MyGig juga berharap kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) yang bukan sahaja akan berfungsi sebagai pusat advokasi dan kawal selia, malah berperanan penting dalam menyeimbangkan kuasa kapitalisme digital agar lebih adil dan beretika. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN