Belanjawan: Tumpu perkasa ekonomi bumiputera

Belanjawan: Tumpu perkasa ekonomi bumiputera

NORSYAHRIN HAMIDON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Me­layu Malaysia (DPMM) menuntut kerajaan memperkasa ekonomi de­ngan meningkatkan penyertaan bumi­putera dalam arus perdana negara menerusi pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober ini.

Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, sebanyak 10 tuntutan telah dibuat berdasarkan perbincangan bersama pakar ekonomi dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu.

Katanya, antara tuntutan tersebut ialah insentif cukai kepada syarikat swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC) yang mengutamakan vendor bumiputera dengan sasaran minimum 40 peratus penyertaan dalam projek nasional.

“Kami turut mencadangkan peruntukan tambahan RM1 bilion kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi memperluas program keusahawanan di seluruh negara.

“Selain itu, dana khas berjumlah RM100 juta juga dicadangkan bagi menubuhkan Konsortium Nasional Usahawan Bumiputera yang membolehkan penggabungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bersaing dalam projek mega,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, katanya, DPMM juga mahu kerajaan mewujudkan Dana Pusingan Nasional Bumiputera berjumlah RM500 juta untuk menyediakan pembiayaan mudah dan cepat kepada usahawan tempatan.

“DPMM juga mahu pelaksanaan Pelan Induk Nasional Penguasaan Ekosistem Bumiputera agar golongan itu mampu menguasai sekurang-kurangnya 40 peratus rantaian bekalan nasional menjelang 2035.

“Peruntukan RM10 juta juga boleh diberikan untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti tempatan yang berpotensi tinggi melalui pemudahcaraan strategik,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, bumiputera semakin tertinggal dalam persaingan syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia apabila hanya dua buah syarikat yang berjaya disenaraikan dalam tempoh lima tahun.

Perkembangan itu menyaksikan sasaran pemilikan 30 pe­ratus ekuiti bumiputera sejak Dasar Ekonomi Baharu (DEB) diperkenalkan pada 1971 masih jauh daripada tercapai.

Pemilikan ekuiti korporat bumiputera kini dianggarkan sekitar 18 peratus, masih jauh daripada sasaran meskipun pelbagai dasar, program dan bantuan telah dilaksanakan kerajaan.

MOHAMAD IDHAM MD RAZAK

Sementara itu, penganalisis ekonomi meminta kerajaan memberi fokus terhadap langkah mengurangkan kesan tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap ekonomi negara, khususnya sektor eksport dan PKS.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kerajaan wajar memperkukuh ketahanan sektor eksport melalui diversifikasi pasaran dan pe­ningkatan nilai tambah.

Katanya, kerajaan perlu mempercepatkan perjanjian perdagangan bebas dengan rakan dagang alternatif dan meningkatkan sokongan kepada eksport berasaskan teknologi tinggi.

“Kerajaan juga boleh memberi geran transformasi digital kepada syarikat tempatan supaya mereka dapat memenuhi piawaian global.

“Selain itu, dana khas untuk kajian pasaran dan bantuan undang-undang perdagangan antarabangsa juga perlu disediakan bagi membantu pengeksport menangani halangan bukan tarif,” katanya.

Mengenai PKS, beliau berkata, insentif paling penting untuk membantu sektor itu kekal berdaya saing ialah akses mudah kepada pembiayaan berkos rendah, sokongan digitalisasi dan integrasi ke dalam rantaian nilai global.

“Dalam belanjawan tahun hadapan, geran padanan untuk PKS yang melabur dalam automasi, e-dagang atau mendapatkan sijil antarabangsa se­perti Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian (ISO) dan halal perlu diperluaskan.

“Skim jaminan pinjaman tanpa cagaran melalui Bank Rakyat atau SME Bank serta program PKS Go Global yang menyediakan bimbingan eksport, logistik bersepadu dan akses ke platform dagangan antarabangsa seperti Alibaba atau Amazon turut juga wajar diberi keutamaan.

“Insentif cukai seperti pe­lepasan untuk perbelanjaan latihan digital atau penyelidikan dan pembangunan (R&D) boleh mendorong inovasi ber­terusan dalam kalangan PKS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN