PETALING JAYA: Kehilangan suami akibat pandemik Covid-19 pada 2020 tidak mematahkan semangat usahawan, Aiza Syafinaz Shahak, 39, untuk terus mengukuhkan perniagaan produk kuih sejuk beku dan kuih raya yang diusahakan sejak lebih sedekad lalu.
Perniagaan wanita yang berasal dari Johor itu tidak dapat beroperasi kira-kira dua tahun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun dia memilih untuk kekal berdiri dan membangunkan semula perniagaannya sambil membantu wanita lain yang turut berdepan nasib sama.
Dia yang mempunyai kedai sendiri iaitu Agro Bazaar Perusahan Gemilang Raya di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak menganggap setiap ujian yang diberikan ada hikmah disebaliknya.
“Saya percaya bila Allah uji, pasti ada hikmah. Kematian itu pasti, tapi kita yang masih hidup kena teruskan kehidupan. Saya bangkit sebab tak mahu kalah.
“Sepanjang tempoh PKP, saya memanfaatkan masa dengan menganjurkan kelas dalam talian secara percuma bagi mengajar resipi kuih dan roti kepada wanita yang terjejas pendapatan.
“Langkah itu menjadi terapi untuk diri sendiri, selain menghidupkan semangat wanita lain agar tidak berputus asa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Setapak, dekat sini.
Tambahnya, Covid-19 mengajarnya bahawa wang bukan segalanya, sebaliknya adalah semangat untuk bangkit dan bantu orang lain.
“Saya juga tubuhkan satu kumpulan sokongan untuk ibu tunggal dan balu yang kehilangan suami akibat Covid-19. Saya bantu mereka cari pendapatan, ajar buat produk makanan dari rumah dengan buat kelas atas talian secara percuma ketika itu,” ujarnya.
Aiza Syafinaz berkata, perniagaan bermula dengan mendapat pinjaman sebanyak RM5,000 daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sebagai modal permulaan pada 2011.
Katanya, hasil sokongan dan bimbingan yang diberikan agensi itu, perniagaannya itu kini berkembang pesat dengan pembiayaan berjumlah RM30,000.
“Masa permulaan saya pergi ke pejabat TEKUN di Titiwangsa dan mohon pinjaman. Alhamdulillah, pinjaman pertama saya sebanyak RM5,000 sebagai modal permulaan.
“Saya berjaya habiskan bayaran pinjaman RM5,000 dalam masa tiga tahun, kemudian buat pinjaman kedua sebanyak RM10,000 pula. Pegawai TEKUN selalu datang pantau, tengok projek dan beri bimbingan untuk terus kembangkan perniagaan,” ujarnya.
Tambahnya, TEKUN bukan sekadar memberi pinjaman semata-mata, tetapi turut memberi bimbingan kepada usahawan yang membuat pinjaman dengan mereka.
“Mereka pantau, beri bimbingan dan ajar cara kembangkan perniagaan. Pegawai TEKUN selalu tanya khabar dan bantu beri semangat. Itu buat saya rasa dihargai,” ujarnya.
Jelasnya, produk utama keluaran Aiza Food termasuk karipap, pau, donut dan roti sejuk beku kini mencatat jualan harian mencecah RM1,000 berbanding hanya RM200 ketika awal operasi.
Dia turut menggaji tiga pekerja yang semuanya adalah wanita, termasuk ibu tunggal dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Setapak.
“Saya sengaja ambil pekerja wanita sebab kerja ini fleksibel. Mereka boleh urus anak dan masih ada pendapatan. Saya mahu wanita rasa yakin yang mereka boleh berdikari walaupun suami sudah tiada,” ujarnya.
Sementara itu, Pengasas Citra Kesom Sdn. Bhd. (Citra Kesom), Nadia Yahaya, 45, berkata, dia menerima pinjaman TEKUN sebanyak RM20,000 yang digunakan untuk membuat pusingan modal untuk perniagaan air minuman kombucha di bawah jenama Boomchaz Kombucha sekitar 2019 dan 2020.
Katanya, dana tersebut digunakan ubah suai premis, pembelian balang-balang kaca, peti sejuk, peti sejuk beku, tong gas, meja, rak untuk operasi pengeluaran serta bahan-bahan mentah.
“Semasa PKP saya hilang punca pendapatan. Ketika itu saya ada membuat kombucha dari rumah untuk arwah ibu saya yang merupakan pesakit kanser. Kombucha saya berikan kepada arwah ibu semasa proses rawatan kemoterapi dimulakan.
“Rasa kombucha yg masam manis, hilangkan loya, jadi ibu boleh makan untuk tenaga dan melancarkan pembuangan setiap pagi tanpa tak perlu makan ubat untuk membuang. Itulah isu pesakit kemoterapi, lemah, takde selera makan dan sembelit,” jelasnya.
Tambahnya, setelah berkongsi kisahnya, kombucha yang dihasilkan mula mendapat sambutan dan mula berpindah ke premis yang pada awalnya adalah bahagian atas pejabat kawan saya.
“Memandangkan perniagaan saya masih baharu ketika itu, sangat sukar untuk mendapatkan pinjaman bank. Saya melihat TEKUN menawarkan skim pinjaman yang mudah lulus dan kadar pulangan yang menguntungkan usahawan seperti kami yang baru bermula.
“Sebagai usahawan kita kena bijak mencari peluang dan ruang seperti berhubung di dalam komuniti perniagaan dan komuniti setempat.
“Apabila baru bertapak, sebagai usahawan kita perlukan sokongan dari agensi kerajaan. Kena rajin mencari tahu tentang kelebihan dan sokongan yang disediakan oleh agensi bagi memudahkan proses membangunkan perniagaan ke tahap yang lebih besar lagi,” jelasnya.
Nadia menasihatkan kepada usahawan wanita yang baru bertapak untuk tidak gentar melakukan langkah pertama untuk membangunkan perniagaan mereka.
“TEKUN bukan saja bagi modal, tapi juga ada latihan, bimbingan dan mentor yang membantu kita belajar dan berkembang.
“Kalau ada cabaran, jangan cepat putus asa sebab kejayaan perlukan masa dan usaha. Gunakan peluang seperti TEKUN yang banyak membantu usahawan wanita sebab ia boleh jadi batu loncatan untuk kita berjaya,” ujarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 baru-baru memberi tumpuan secara inklusif kepada pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan lebih RM2.5 bilion pinjaman mikro disediakan antaranya di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN.
Selain itu, Belanjawan 2026 terus memperkasa usahawan wanita dengan menyediakan sejumlah RM230 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Peruntukan itu menjadikan dana AIM yang tersedia berjumlah RM2.9 bilion untuk manfaat lebih 300,000 sahabat usahawan.
Bank Rakyat, BSN, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan SME Bank turut menyediakan pembiayaan RM270 juta bagi menyokong usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) wanita. – UTUSAN










