MyGig mohon bajet khas RM30 juta untuk latihan semula komuniti gig

Belanjawan 2026: MyGig mohon bajet khas RM30 juta untuk latihan semula komuniti gig

MOHD. Sharkar Shamsudin (duduk, tengah) bersama pengurusan tertinggi MyGiG dan lebih 60 wakil penggiat industri gig.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Majlis Gig Malaysia (MyGig) memohon agar Belanjawan 2026 memperuntukkan bajet khas berjumlah RM30 juta bagi melaksanakan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) kepada keseluruhan komuniti ekonomi gig di negara ini.

Permohonan itu dibuat susulan keperluan mendesak untuk memperluas akses latihan kepada pelbagai kategori penggiat gig, bukan hanya kepada e-hailing dan p-hailing seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Pengerusi MyGig, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, ekonomi gig merangkumi pelbagai bidang profesional dan kreatif yang semakin berkembang serta menjadi antara penyumbang utama pendapatan negara.

“Komuniti gig bukan sekadar pemandu e-hailing atau penghantar makanan. Penggiat sektor ini turut melibatkan pekerja bebas, pemuzik, pereka grafik, jurugambar perkahwinan, penulis kandungan, pengurus media sosial, akauntan bebas, penyunting video dan pengaturcara.

“Peruntukan RM10 juta sebelum ini sudah dimanfaatkan sepenuhnya untuk program tersebut, namun belum mencukupi untuk menampung keperluan latihan menyeluruh.

“Berdasarkan maklum balas daripada seluruh komuniti gig, ramai yang ingin meningkatkan kemahiran digital, pengurusan kewangan, pemasaran dan keselamatan pekerjaan. Justeru, MyGig berharap Belanjawan 2026 dapat memperuntukkan bajet khas RM30 juta untuk tujuan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohd. Sharkar berkata, bajet khas RM30 juta itu tidak termasuk skim perlindungan insurans yang turut diperlukan bagi menjamin keselamatan sosial penggiat gig yang bekerja secara bebas dan berisiko tinggi.

“Skim insurans adalah satu keperluan berasingan yang perlu terus dilaksanakan oleh kerajaan. Fokus kami kini adalah bagi memastikan latihan dan pembangunan kemahiran dapat dilaksanakan secara inklusif,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa ekonomi gig merupakan antara pemacu utama ekonomi digital negara dan sektor tersebut perlu diberikan perhatian serius dalam perancangan dasar.

“Nilai ekonomi sektor gig pada tahun lalu dianggarkan mencecah RM130 bilion. Ini adalah sumbangan besar kepada negara yang tidak boleh dipandang ringan,” tegasnya.

Dalam hal ini, katanya, MyGig menyatakan kesediaan menjadi perantara atau memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan program peningkatan kemahiran dan latihan semula buat seluruh penggiat sektor tersebut.

“Kami bersedia menjadi penghubung antara kerajaan, penyedia latihan dan komuniti gig bagi memastikan program ini berjalan lancar dan mencapai sasaran,” katanya.

Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat esok, merupakan siri keempat Belanjawan Madani yang dirangka untuk memulihkan daya tahan fiskal, memperkukuh asas ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Belanjawan kali ini akan terus menelusuri tiga tonggak utama Ekonomi Madani iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat dan memacu pembaharuan khususnya dalam tata kelola yang baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN