Aunty Linah dakwa Zara Qairina mengigau dan terjatuh

Aunty Linah dakwa Zara Qairina mengigau dan terjatuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Saksi kanak-kanak ke-16 yang juga antara individu terawal melihat pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir selepas ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di aras bawah Blok A, Rabiatul Adawiyah berkata dia pada mulanya menyangka remaja terbabit tergelincir.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan, Linah Mansoding yang juga saksi keenam inkues tersebut mengesyaki bahawa Zara Qairina mengigau.

“Saksi beritahu sekitar pukul 2.50 pagi dia terjaga sebab kesejukan akibat tidur di lantai dorm. Saksi duduk bersama tiga penghuni lain di aras bawah blok berkenaan. Katanya, pada hari kejadian, mereka semua tidur di lantai beramai-ramai.

“Selepas terjaga dan ketika ingin tidur semula, saksi beritahu ia mendengar bunyi ketukan di pintu dan bila dibuka dia nampak Aunty Linah yang memintanya melihat sesuatu di hadapan biliknya. Saksi kemudian keluar dari bilik dan ternampak Zara terbaring di antara rumput dan longkang.

“Saksi masa itu secara spontan cakap “Ya Allah, kenapa Zara tergelincir ni?” sebelum menghampiri remaja terbabit an memegang paha Zara, dia cuba kejutkan Zara sambil tanya macam mana boleh tergelincir.

“Saksi kemudian beritahu, aunty Linah cakap “mana ada dia tergelincir ni, mana ada selipar dia pakai. Aunty rasa dia mengigau ni dan terjatuh dari atas” sebelum pengawal keselamatan tu juga cuba kejutkan Zara,” kata peguam Azhier Farhan Arisin ketika ditemui media selepas tamat prosiding itu.

Peguam itu berkata demikian berdasarkan penyataan saksi yang telah habis dibacakan saksi kanak-kanak berkenaan dan turut memaklumkan bahawa saksi tersebut masih belum selesai disoal oleh pihak berkepentingan.

Peguam turut memberitahu, saksi telah meminta Linah untuk menghubungi warden bertugas, Madam Shima namun panggilan pengawal keselamatan tu tidak berjawab menyebabkan wanita terbabit menghubungi Ketua Warden, Azhari Abd. Sagap atau turut dipanggil Ustaz Azhari.

Selain itu, saksi turut memberitahu, ketika dia berada dengan Zara Qairina, remaja terbabit masih bernafas, tangan kanannya masih bergerak tetapi matanya tertutup. Tidak lama selepas itu, sebelum Ustaz Azhari tiba, dia melihat Zara Qairina semakin susah bernafas dan tangannya tidak lagi bergerak.

Saksi turut memaklumkan apabila tangan Zara Qairina berhenti bergerak, dia perasan darah keluar dari ‘kaki yang koyak’.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan bahawa Zara Qairina mengigau sebelum terjatuh, pada awal pagi 16 Julai lalu.

Saksi kanak-kanak yang juga saksi ke-25 inkues itu pada awal prosiding memberitahu, berdasarkan pemerhatiannya, Zara adalah seorang yang `happy go lucky’ ceria dan aktif. Zara juga, kata saksi, suka menegur senior, memberi salam ketika berjumpa dan sering tersenyum.

Bagaimanapun, dia juga tahu bahawa Zara Qairina tidak begitu disukai oleh penghuni lain di blok berkenaan kerana apabila dia bertanya `Zara yang mana’, jawapan yang diperolehi ialah `Zara yang problem itu’.

“Bila saksi ini yang juga pengawas tanya, `problem’ apa, dia diberitahu mencuri namun bagi saksi itu, Zara bukanlah seorang yang bermasalah. Saksi juga beritahu dia pernah mendengar pelajar lain bercakap yang Zara mencuri, suka sejenis, dan mahu menjadi Badar (Badan Dakwah dan Kerohanian).

“Saksi kata dia tidak ambil peduli dengan apa yang diceritakan kerana menganggap Zara masih budak-budak dan berkemungkinan Zara menjadikan seseorang itu idolanya namun saksi tidak tahu siapa yang disukai oleh Zara,” kata Azhier.

Keterangan saksi bagaimanapun terhenti apabila dia tiba-tiba menangis ketika ditanya berkait dengan insiden buli di asrama terbabit.

Saksi itu menceritakan ketika dia di Tingkatan Tiga (saksi kini di Tingkatan Lima), dia pernah menjadi `picker’ untuk senior Tingkatan Empat untuk membawa baju dari bilik `iron’ (di aras bawah) naik ke bilik mereka.

Tambah saksi itu, dia juga pernah kena MA (soal siasat) ketika junior dan turut digelar `jibam’ (tukang repot).

“Saksi kata ketika dia di Tingkatan Empat dia sering disindir oleh rakan satu tingkatan dan juga senior Tingkatan Lima. Katanya dia sering disindir “tuna tu jibam”. Jibam bermaksud “pereport” tetapi saksi hanya buat tidak tahu sahaja.

“Saksi memberitahu, sikap senior terhadap junior di asrama akan terus bersemuka dengan junior kalua tengah marah dan akan memaki dengan perkataan seperti p*****k, s**l, bodoh, anjing, babi. Katanya itu perkataan-perkataan yang didengar,” kata peguam.

Selain itu, saksi turut memberitahu, sebelum kejadian yang berlaku terhadap Zara Qairina, warden asrama dilihat seperti kurang ambil berat (keadaan penghuni asrama).

“Saksi kata pemeriksaan asrama pun warden tak buat sehinggalah kes ini berlaku, saksi kata baru nampak warden naik ke setiap tingkat blok untuk membuat pemeriksaan,” kata Azhier.

Prosiding yang didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung Selasa ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN