Al-Adam Mikail ke Valencia: Keluarga rayu bantuan, sokongan kerajaan negeri - Utusan Malaysia

Al-Adam Mikail ke Valencia: Keluarga rayu bantuan, sokongan kerajaan negeri

MUHAMMAD Al-Adam Mikail Mohd. Hamirul (kiri) akan berentap pada Kejohanan Motosikal Siri Dunia FIM MiniGP bagi kelas 160cc di Valencia, Sepanyol, bulan November ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keluarga pelumba muda sensasi negara, Muhammad Al-Adam Mikail Mohd. Hamirul, 11, merayu kerajaan negeri supaya memberikan sokongan dan bantuan kewangan bagi menampung kos penyertaan ke Kejohanan Motosikal Siri Dunia FIM MiniGP bagi kelas 160cc di Valencia, Sepanyol, bulan depan.

Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap itu dijangka berlepas ke Sepanyol pada 17 November ini, ditemani bapanya, Mohd. Hamirul Aliff, 33, yang menjadi tulang belakang kepada perjalanan karier awalnya dalam dunia permotoran.

Mohd. Hamirul berkata, kira-kira RM15,000 diperlukan bagi melengkapkan persiapan termasuk tiket penerbangan, penginapan, logistik dan keperluan teknikal perlumbaan sepanjang dua minggu di Valencia.

Menurutnya, anaknya yang mewakili Malaysia ke kejohanan berprestij itu merupakan satu-satunya wakil dari Pahang dan antara pelumba termuda yang berjaya menempah tempat ke pentas dunia.

“Kami amat berharap kerajaan negeri dapat membantu sebagai tanda sokongan terhadap pencapaian Al-Adam Mikail yang bukan sahaja mengharumkan nama Pahang, malah membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Al-Adam Mikail bakal beraksi di pentas berprestij itu bersama seorang lagi pelumba muda negara, Qasha Irfan Azlan, 11, dari Terengganu.

Kedua-dua pelumba cilik itu akan menentang pelumba terbaik dunia dalam kejohanan FIM MiniGP World Final yang menghimpunkan juara-juara siri MiniGP dari 22 negara.

Dalam siri kejohanan FIM MiniGP Malaysia bagi kategori 160cc, Al-Adam Mikail menewaskan beberapa pelumba berpengalaman sekali gus menutup musim ini dengan catatan mata tertinggi sebanyak 203 mata.

Mohd. Hamirul berkata, penyertaan ke kejohanan berprestij itu bukan sahaja memerlukan persiapan rapi daripada segi fizikal dan mental, malah melibatkan kos yang tinggi untuk memastikan kelancaran sepanjang berada di Sepanyol.

“Al-Adam telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam sukan permotoran sejak usia tujuh tahun lagi  dan kini menjadi antara pelumba muda yang digeruni di peringkat Asia. Dia bukan sahaja berbakat, malah mempunyai disiplin tinggi dan semangat juang yang luar biasa. Kami sebagai ibu bapa sentiasa menyokong, namun kemampuan kewangan kami agak terhad,” ujarnya.

Sementara itu, Al-Adam Mikail meluahkan rasa terkejut dan teruja kerana berjaya ke pentas dunia dalam arena permotoran yang menjadi minatnya sejak berusia tujuh tahun.

“Saya gembira sebab berjaya ke Sepanyol pada tahun pertama berlumba dalam FIM MiniGP Malaysia bagi kategori 160cc. Saya tak terlalu mensasarkan gelaran juara sebab ini pertama kali beraksi di pentas dunia sebaris pelumba hebat lain. Tapi, saya akan buat yang terbaik sementara menimba pengalaman supaya dapat mempertingkatkan kemahiran untuk masa hadapan,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Penaung Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, selain syarikat swasta, Al-Adam Mikail yang memiliki bakat luar biasa itu perlu disokong penuh oleh kerajaan negeri bagi mengembangkan lagi potensi dimilikinya sehingga peringkat antarabangsa.

“Umum mengetahui, kos penyertaan dalam kejohanan antarabangsa, latihan intensif serta keperluan logistik memerlukan penajaan yang lebih mapan dan konsisten.

“Diharapkan, selain tajaan oleh syarikat swasta atau korporat, atlet muda negara ini seharusnya mendapat sokongan kerajaan negeri agar potensi sehebat ini tidak terbazir begitu sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN