NEW YORK: Hampir 80 peratus daripada penduduk termiskin di dunia atau kira-kira 900 juta orang terdedah secara langsung kepada bahaya iklim yang semakin teruk akibat pemanasan global.
Pemangku pentadbir Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Haoliang Xu berkata, penduduk termiskin menanggung beban berganda dan amat tidak seimbang berbanding masyarakat lain.
“Tiada siapa yang kebal daripada kesan perubahan iklim yang semakin kerap dan buruk seperti kemarau, banjir, gelombang haba serta pencemaran udara, tetapi penduduk termiskin dalam kalangan kita menghadapi kesan paling teruk,” katanya dalam kenyataan kepada AFP.
Sidang kemuncak iklim PBB, COP30, yang dijadualkan di Brazil pada November, merupakan peluang kepada pemimpin dunia untuk melihat tindakan terhadap perubahan iklim dengan usaha membanteras kemiskinan.
Kajian tahunan UNDP bersama Oxford Poverty and Human Development Initiative mendedahkan, 1.1 bilion orang atau 18 peratus daripada 6.3 bilion penduduk di 109 negara yang dianalisis, hidup dalam kemiskinan ‘multidimensi akut’.
Penilaian itu mengambil kira faktor seperti kadar kematian bayi serta akses kepada perumahan, sanitasi, elektrik dan pendidikan.
Separuh daripada golongan tersebut adalah kanak-kanak.
Dua kawasan yang paling terjejas kemiskinan ialah Afrika sub-Sahara dan Asia Selatan, juga sangat terdedah kepada kesan perubahan iklim.
Laporan itu menekankan kaitan antara kemiskinan dan pendedahan kepada empat risiko alam sekitar, termasuk cuaca panas ekstrem, kemarau, banjir serta pencemaran udara.
“Isi rumah yang miskin amat terdedah kepada kejutan iklim kerana ramai bergantung kepada sektor yang sangat terdedah seperti pertanian dan pekerjaan tidak formal,” menurut laporan itu.
Hasilnya, seramai 887 juta orang, iaitu hampir 79 peratus daripada golongan miskin, terdedah secara langsung kepada sekurang-kurangnya satu daripada ancaman tersebut.
Daripada jumlah itu, 608 juta terjejas oleh panas melampau, 577 juta terkesan pencemaran, 465 juta oleh banjir, dan 207 juta lagi akibat kemarau.