Ribut: 40 rumah, lima sekolah rosak di Kuala Langat

Ribut: 40 rumah, lima sekolah rosak di Kuala Langat

Keadaan sebuah sekolah yang rosak teruk dalam kejadian ribut dan puting beliung di Banting, Selangor, petang semalam. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Bencana ribut dan puting beliung merosakkan 40 buah rumah, lima sekolah dan satu dewan orang ramai di daerah ini semalam.

Lokasi terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya; Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya; SK Kampung Medan; SRA Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung.

Turut terjejas, Dewan Wawasan Batu 9 Kampung Medan; Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, kawasan perumahan Batu 9 Kampung Medan dan kawasan industri Taman Sijangkang Jaya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, bencana alam itu dilaporkan berlaku  di sekitar Telok Panglima Garang di sini, pukul 4.15 petang.

“Angin kencang dan puting beliung tidak mengakibatkan kemalangan jiwa namun berlaku kerosakan harta benda di kawasan terlibat.

“Kerja pembersihan dan pemotongan pokok giat dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak sejak pukul 4.30 petang semalam,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurut beliau, seramai 11 murid SRA Kampung Medan mengalami kecederaan ringan. 

“Namun, hanya lima daripada mereka telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Telok Panglima Garang manakala bakinya dibawa pulang keluarga masing-masing.

“Selain itu, seorang lelaki cedera di mata dan seorang wanita pula patah kaki akibat dihempap besi ketika bencana berkenaan,” katanya.

Kedua-dua mangsa sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Tambah Mohd. Akmalrizal, Pegawai Daerah Kuala Langat selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) mengisytiharkan Bencana Tahap Satu di Kampung Medan petang semalam.

“Pada pukul 8 malam tadi, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS)  dibuka di Dewan Harmoni Batu 7 Sijangkang bagi mangsa yang terjejas.

“Seramai lapan keluarga terdiri daripada 18 individu telah mendaftar masuk di pusat berkenaan,” katanya.

Beliau menasihatkan orang awam tidak menghampiri atau memasuki kawasan bencana tanpa kebenaran pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan mengganggu operasi agensi terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN