Zara Qairina hilang upaya untuk bernafas sendiri

Zara Qairina hilang upaya untuk bernafas sendiri

ZARA QAIRINA MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kecederaan yang dialami oleh pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir terlalu teruk sehingga remaja terbabit hilang keupayaan untuk bernafas sendiri dan memerlukan bantuan alat pernafasan.

Tambah saksi keempat inkues kematian remaja terbabit, Dr. Pavankumar Balachandran yang bertugas di Wad Neurosurgeri, remaja itu juga mengalami kecederaan otak yang tidak mampu dipulihkan sehingga ubat yang diberikan bagi menghalang berlakunya sawan tidak akan memberikan sebarang kesan.

Peguam Rizwandean M Borhan: Berdasarkan laporan Doktor, pesakit (Zara Qairina) perlu diintubasi (intubated) dan diventilasi (ventilated), apa maksudnya?

Dr. Pavankumar: Berdasarkan pemeriksaan awal, tahap kesedaran (level of consciousness) pesakit berada di tahap paling rendah yang mana pesakit hilang keupayaan untuk bernafas sendiri menyebabkan dia perlu diintubasi dan disambungkan kepada mesin pernafasan.

Rizwandean: Berdasarkan la­poran, bagaimanakah kadar kelangsungan hidup pesakit (rate of survival)?

Dr. Pavankumar: Daripada menggunakan istilah kadar kelangsungan hidup, saya lebih cen­derung untuk mengatakan bahawa prognosis pesakit ini adalah sangat tidak menentu (severely guarded).

Peguam Sherzali Hezra Asli: Apa yang dimaksudkan dengan severely guarded?

Dr. Pavankumar: Istilah itu digunakan bagi menunjukkan seseorang individu yang mengalami kecederaan otak yang teruk akan mempunyai prognosis yang sangat tidak memberangsangkan.

Rizwandean merupakan salah seorang peguam yang dilantik bagi mewakili ibu remaja terbabit, Noraidah Lamat manakala Sherzali merupakan peguam bagi pihak bapa remaja itu Mahathir Mohd. Hasim @ Marikin.

Sementara itu, ketika soal oleh peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang remaja yang didakwa atas tuduhan membuli Zara Qairina, doktor terbabit menyatakan beliau tidak akan memberikan ubat Phenytoin kepada remaja terbabit kerana ‘ia tidak akan memberikan kesan’.

Ram: Ubat Phenytoin, ubat untuk apa?

Dr. Pavankumar: Ubat yang diberikan kepada individu yang mengalami kecederaan traumatik otak bagi menghalang daripada terkena sawan.

Ram: Dalam keadaan Zara yang tidak sedarkan diri, berada dalam keadaan kritikal yang boleh membawa kepada kematian, adakah wajar Phenytoin diberikan?

Dr. Pavankumar: Berdasarkan pemeriksaan awal, laporan klinikal dan radiologi, pesakit mengalami kecederaan otak yang tidak boleh dipulihkan. Dalam kes ini, pemberian ubat ini tidak akan mengubah fakta ini.

Pada prosiding semalam, pe­gawai perubatan itu juga menafikan bahawa beliau tidak pernah memberikan penerangan dan penjelasan kepada ibu remaja terbabit, Noraidah Lamat berhubung masa dan punca kematian Zara Qairina.

Rizwandean: Di mana awak beri penerangan kepada ibu pesakit?

Dr. Pavankumar: Di Wad Neurosurgeri.

Rizwandean: Di mana awak beri penerangan kepada pegawai penyiasat (Inspektor Wong)? Bila dia sampai?

Dr. Pavankumar: Di Wad Neurosurgeri. Dia sampai selepas dimaklumkan mengenai kematian pesakit tapi tak ingat pukul berapa.

Rizwandean: Siapa lagi yang ada di situ sewaktu awak beri penerangan?

Dr. Pavankumar: Terdapat beberapa individu lain, sanak saudara dan rakan (keluarga Zara Qairina)

Rizwandean: Saya mendapat arahan daripada anak guam saya bahawa awak tidak pernah memberikan sebarang penjelasan dan penerangan mengenai punca kematian Zara Qairina.

Dr. Pavankumar: Sepanjang ingatan saya, saya ada memberi penjelasan kepada ibu Zara Qairina dan beberapa saudaranya mengenai asas dan punca kematian.

Rizwandean: Ada atau tidak awak melihat pegawai penyiasat dan ibu Zara Qairina berbincang?

Dr. Pavankumar: Ada.

Pada prosiding semalam juga, Mahkamah Koroner ditunjukkan dengan dua rakaman simulasi yang dilakukan oleh pasukan Forensik Jenayah (D10) IPK Sabah.
Prosiding inkues bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN