Usah berebut jadi calon PM, utamakan perpaduan orang Melayu 

Usah berebut jadi calon PM, utamakan perpaduan orang Melayu 

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad menegur tindakan segelintir pihak yang berebut-rebut mahu dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sedangkan parti yang diwakili belum tentu mampu mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara yang lebih penting ketika ini ialah usaha untuk menyatukan orang Melayu terlebih dahulu kerana hanya dengan perpaduan itulah kemenangan boleh dicapai.

“Tak usahlah berebut-rebut nak jadi calon Perdana Menteri. Sebaliknya berusahalah untuk Melayu bersatu. Hanya jika Melayu bersatu sahaja baharulah kemenangan boleh dicapai.

“Setelah menang barulah pilihan Perdana Menteri dibuat. Semua yang berbakat boleh bertanding untuk jadi Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dr. Mahathir berkata, beliau kurang faham mengapa ramai yang berebut-rebut untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sedangkan tanpa kemenangan besar di Parlimen, hasrat itu tidak akan tercapai.

“Calon tidak akan jadi Perdana Menteri jika partinya tidak menang 112 kerusi. Untuk menang 112 kerusi, partinya perlu letak lebih daripada 112 calon.

“Parti lain pun akan letak calon melawan partinya. Tidak mungkin partinya menang 112 kerusi. Tidak mungkin calon Perdana Menteri jadi Perdana Menteri,” katanya.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lebih awal menamakan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam baru-baru ini.

Kemudian, Dewan Pemuda Pas pula membawa usul supaya calon Perdana Menteri datang daripada parti itu ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Pusat di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, Kedah.

Bersatu melihat Muhyiddin sebagai figura berpengalaman, berkarisma dan pernah menggalas jawatan tersebut, manakala Pemuda Pas menyatakan sokongan penuh bahawa calon Perdana Menteri daripada parti itu hendaklah berusia bawah 70 tahun.

Isnin lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri menolak untuk menjadi calon Perdana Menteri kerana faktor usia dan kesihatan.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, Pas tetap bersedia memimpin negara dengan syarat parti itu terlebih dahulu berjaya memenangi pilihan raya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN