PETALING JAYA: Keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang disifatkan sebagai langkah politik yang tepat serta memperlihatkan keberanian parti menentukan haluan sendiri demi masa depan politik Sabah.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, keputusan itu menepati dinamika politik di negeri berkenaan yang sentiasa berubah.
Katanya, usaha memenangi hati serta mendapatkan sokongan rakyat Sabah perlu segera diperkasakan kerana landskap dan demografi politik negeri itu kini jauh berbeza berbanding sebelum ini.
“BN Sabah mesti kekal bersatu padu kerana itu kunci utama untuk menang dan sokongan rakyat penting untuk memastikan UMNO-BN mencapai kemenangan dalam PRN Sabah.
“Realitinya ramai yang mahu melihat UMNO-BN Sabah menunjukkan keberanian mengambil langkah politik demi masa depannya. UMNO-BN mesti dilihat sebagai parti yang tidak dikawal oleh pihak lain.
“Justeru keputusan berani Pengerusi BN yang didokong oleh pelbagai lapisan pimpinan tertinggi parti penting bagi memperlihatkan kepada rakyat keupayaan BN mencorakkan politik Sabah demi kepentingan rakyat di negeri itu,” katanya.
Shamsul Anuar berkata, langkah seterusnya adalah mempertingkatkan usaha mendekati rakyat memandangkan landskap politik sudah berubah lebih-lebih lagi dengan pengaruh besar generasi muda yang bakal menjadi penentu masa depan mana-mana parti pada PRN kali ini.
“Oleh itu, ketika UMNO-BN berani menentukan haluan politiknya di Sabah, UMNO-BN mesti meyakinkan rakyat bahawa parti ini mampu membawa kestabilan, pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat Sabah serta mahu kembali memimpin,” katanya. – UTUSAN










