PETALING JAYA: Pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap banyak negara yang dilihat sebagai senjata perdagangan menjadi faktor kepada pengukuhan kerjasama dalam kalangan negara Asia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi ekonomi global yang mengalami perubahan dan disusun mengikut acuan barat memberi petunjuk jelas agar negara Asia terus bekerjasama.
Sehubungan itu, katanya, negara-negara Asia digesa memperkukuh kerjasama dalam memastikan kestabilan semua aspek terutama ekonomi dan keamanan.
“Penyusunan semula ekonomi global perlu ‘digarap’ dan ‘ditulis’ negara Asia.
“Asia perlu memperkukuh kerjasama demi kestabilan dan menjamin masa depan yang lebih baik dan terbuka,” katanya dalam sesi syarahan umum ‘Membina Masa Depan Bersama Di Asia’ di Universiti Tianjin, China, semalam.
Anwar kini dalam rangka lawatan kerja empat hari ke China, yang keempat sejak 2023.
Dalam pada itu, Anwar berkata, saling kebergantungan antara negara mampu memastikan keamanan dan kestabilan global.
Malah katanya, setiap negara perlu terbuka kepada pelaburan dan perdagangan luar, pencarian bakat dan pertukaran teknologi demi memastikan kemakmuran, sekali gus melonjak sesebuah negara ke arah pendapatan lebih tinggi serta keluar dari kepompong kemiskinan.
“Saling bergantung dapat memastikan kedaulatan dan bukannya melemahkan. Sesebuah negara tidak perlu bimbang tentang autonomi mereka hilang dengan langkah ini.
“Sebaliknya mereka perlu yakin bahawa dengan kebergantungan ini, daya tahan mereka akan berlipat ganda,” katanya.
Anwar dalam masa yang sama turut memberi penekanan agar penyusunan semula ekonomi global ‘ditulis’ negara Asia.
“Kita juga perlu bertanggungjawab memastikan bab seterusnya ditulis dengan bahasa Asia, begitu juga dengan dakwatnya,” jelasnya.
Beliau dalam masa yang sama turut menjadikan sejarah Laksamana Zheng He dari China dan mengaitkan sejarah Melaka, Arab dan Afrika.
Katanya, sejarah tersebut menunjukkan laksamana tersebut tidak menakluk, sebaliknya membawa ganjaran
“China sebagai kuasa tamadun boleh membina keterbukaan, kestabilan dan keterangkuman rantau ini.
“Malaysia boleh membuat sumbangan sendiri untuk menunjukkan bahawa adalah mungkin untuk berdaulat tanpa curiga, terbuka tanpa naif. Dan Asia, sebagai sebuah komuniti negara yang pelbagai, mempunyai tanggungjawab untuk memastikan penyusunan semula ekonomi seterusnya bukanlah satu perpecahan tetapi satu keadilan dan kemakmuran bersama,” katanya. – UTUSAN










