Suami isteri rayu bantuan, anak hidap pelbagai penyakit

Suami isteri rayu bantuan, anak hidap pelbagai penyakit

MOHD. HANAFI Musa dan Zuraidah Hassan bersama anak mereka Puteri Balqis ketika ditemui rumah mereka di Lorong Haji Nasir, Api-Api, Parit 4, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Sepasang suami isteri kini bimbang dan merayu bantuan selepas anak perempuan mereka yang berusia tujuh bulan mengalami pelbagai masalah kesihatan.

Puteri Balqis Mohd. Hanafi menghidap masalah saluran pernafasan sempit, jantung berlubang, thyroid sejak dilahirkan pada 12 Februari lalu dan kini menggunakan saluran getah bagi pernafasan.

Menurut bapanya, Mohd. Hanafi Musa, 37, Puteri Balqis merupakan anak sulungnya bersama isteri Zuraidah Hassan, 40.

Menurutnya, selepas dilahirkan, anaknya itu ditempatkan selama enam bulan di Hospital Sultanah Aminah (HAS) Johor Bahru dan dibenarkan pulang pada bulan lalu.

Bagaimanapun katanya sebelum dibenarkan pulang ke rumah, pihak hospital perlu memastikan bayinya mendapatkan mesin bantuan pernafasan.

“Alhamdulillah, pejabat Baitumal Pontian telah menyumbangkan peralatan tersebut yang berharga kira-kira RM9,000 bagi kegunaan Putri Balqis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Haji Nasir, Api-Api, Parit 4, di sini.

Tambah Mohd. Hanafi, dia yang bekerja sebagai nelayan tiada mempunyai mata pencarian lain, manakala isterinya yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Pontian Besar tidak lagi dapat bekerja.

“Pendapatan saya pun tidak menantu, ketika ini musim angin barat, telah tiga hari pulang dengan tangan kosong, jika hari-hari biasa, dapatlah antara RM100 hingga RM150 sehari,” ujarnya.

Katanya, Puteri Balqis juga perlu mendapatkan rawatan susulan di HSA Johor Bahru yang memerlukan kos untuk membawanya kerana dia tiada mempunyai kenderaan.\

Dia berkata, telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi perbelanjaan bayinya terutama bagi membeli susu dan lampin pakaian buang.

“Bayi ini memerlukan susu dengan harga RM22.00 bagi 800 gram yang bertahan kegunaannya bagi tempoh dua minggu selain lampin pakai buang seperti bayi yang lain,” jelasnya.

Mohd. Hanafi menambah, saluran getah yang menyambung dari mesin ke mulut anaknya pula berharga RM760 yang sepatutnya ditukar kegunaannya enam bulan sekali untuk dibersihkan.

Sementara itu, Zuraidah berkata, sebelum itu dia bekerja di sebuah kilang pembuatan peralatan getah dengan memperoleh pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan bagi membantu keluarganya.

Namun katanya, selepas melahirkan Puteri Balqis, beliau tidak dapat bekerja lagi kerana anaknya memerlukan perhatian setiap masa,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd. Hanafi Musa di nombor 011-36524480 atau menyumbang terus atau melalui akaun Maybank bernombor 551025226043. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN