SEREMBAN: Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia meneruskan komitmen mendekati masyarakat akar umbi khususnya melibatkan kanak-kanak istimewa menerusi program Bulan Komuniti McDonald’s dan RMHC 2025.
Pengarah Komunikasi Korporat McDonald’s Malaysia merangkap Timbalan Setiausaha RMHC, Shamsidar Yahya berkata, program yang memasuki tahun kesembilan penganjuran itu bukan sekadar program kebajikan malah untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat perhatian dan peluang mencipta kenangan bermakna.
“Bulan komuniti adalah antara program utama yang mencerminkan tanggungjawab kami sebagai jiran prihatin. Tahun ini lebih istimewa kerana dengan kerjasama JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) kami dapat pastikan manfaat sampai terus ke komuniti akar umbi yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Bulan Komuniti McDonald’s dan RMHC 2025 dengan kerjasama JKM di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah di sini, hari ini.
Sejak diperkenalkan pada 2017, program berkenaan diraikan setiap Oktober dengan meraikan anak-anak yatim sebelum diperluaskan kepada anak-anak istimewa.
Tahun ini hampir 6,000 kanak-kanak daripada lebih 120 rumah kebajikan di bawah JKM dan Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) terpilih diraikan melalui sambutan hari jadi McDonald’s di seluruh negara.
Pada majlis sama, RMHC turut mengumumkan pembinaan sebuah Bilik Terapi Sensori Integrasi di Rumah Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah.
Fasiliti bernilai RM50,000 sumbangan RMHC dan RM10,000 tambahan McDonald’s Malaysia itu dilengkapi peralatan khas serta tenaga terapi profesional yang mampu menyediakan sehingga 120 sesi terapi sebulan untuk anak-anak dengan autisme, ADHD dan cabaran perkembangan deria dan kognitif.
Kerjasama strategik ini juga akan memberi manfaat langsung kepada 96 penghuni rumah kebajikan tersebut selain dibuka kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sekitar Negeri Sembilan menjadikannya hab latihan untuk tenaga pengajar dan ahli terapi dalam bidang intervensi awal.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Rosmahwati Ishak, berkata, pihaknya menghargai usaha McDonald’s Malaysia yang secara konsisten tampil menjaga kebajikan rakyat khususnya kanak-kanak yang memerlukan.
“Inilah contoh terbaik bagaimana sektor swasta boleh menjadi rakan strategik kerajaan dalam memperkukuhkan ekosistem penjagaan sosial negara,” katanya.
Selain bilik terapi, RMHC turut meneruskan empat inisiatif utama lain iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, Gift of Smile dan Pek Kembali ke Sekolah.-UTUSAN.