KOTA BHARU: Polis merampas pil kuda dan ketum bernilai RM1.6 juta selepas menahan seorang remaja dalam serbuan di sebuah rumah di Desa Rahmat, dekat sini pada minggu lalu.
Dalam serbuan pukul 12.20 tengah hari itu, polis turut menahan ibu dan kakak mangsa bagi membantu siasatan berhubung rampasan bahan terlarang tersebut.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati remaja mula aktif dalam sindiket mengedar pil kuda dan ketum sejak Mei lalu.
“Kita mendapati suspek menjadikan rumahnya sebagai transit sementara untuk menyimpan dadah tersebut sebelum menjualnya ke pasaran tempatan.
“Semasa serbuan dilakukan polis telah menjumpai 108,000 biji pil kuda dan daun ketum seberat 37 kilogram (kg) di dalam rumah berkenaan,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek dan ibu serta kakaknya mendapati mereka negatif dadah.
Katanya, semakan turut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kami dapati suspek yang merupakan penganggur belum sempat menikmati keuntungan daripada pengedaran dadah tersebut.
“Kesemua mereka direman selama 14 hari bermula 11 September lalu untuk membantu siasatan. Kes ini disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata, pihaknya turut menyita sebuah motosikal jenis Honda.-UTUSAN