Raja Muda Perlis dianugerah Doktor Kehormat UMSU - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis dianugerah Doktor Kehormat UMSU

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) menerima penganugerahan dalam majlis yang berlangsung di Auditorium UMSU, Medan, Indonesia. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDAN, INDONESIA: Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) memberi pengiktirafan buat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan menganugerahkan baginda Gelar Doktor Kehormat (Doktor Honoris Causa).

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin turut dianugerahkan Anugerah Bintang Tertinggi Muhammadiyah (Anugerah Mitra Lestari Muhammadiyah Internasional) oleh Pimpinan Pusat Muhammadiyah.

Pengiktirafan itu adalah sebagai tanda penghormatan atas sumbangan besar baginda dalam memperkukuh kerjasama pendidikan, dakwah, kemasyarakatan serta hubungan persaudaraan antarabangsa.

Penyampaian penganugerahan itu disampaikan oleh Rektor UMSU, Prof Dr Agussani dan Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah Prof. Dr. H. Haedar Nashir dalam majlis berlangsung di Auditorium UMSU, di sini.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan penghargaan atas penganugerahan tersebut yang disifatkan bukan sahaja sebagai pengiktirafan peribadi namun merupakan usaha bersama dalam bidang pendidikan, dakwah dan khidmat masyarakat.

“Penganugerahan Doktor Honoris Causa ini adalah satu penghormatan yang amat besar dan saya sedar ia bukan hanya untuk diri saya, tetapi sebagai pengiktirafan terhadap peranan pelbagai institusi di Perlis.

“Ini termasuklah seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Yayasan Tuanku Syed Putra, Yayasan Tuanku Fauziah, Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) dan lain-lain yang bersama-sama mengangkat agenda pendidikan serta pembangunan insan,” titah baginda pada majlis berkenaan.

Berangkat sama pada majlis itu adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sebagai rekod, majlis penganugerahan ini merupakan sebahagian daripada agenda Ekspedisi Ilmu FCoEE-MAIPs yang berlangsung selama tiga hari di Medan, di sini.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, bidang pendidikan adalah sangat penting dan merupakan kunci kepada sesebuah ketamadunan.

“Universiti seperti UMSU juga berperanan melahirkan generasi yang cemerlang ilmu dan berakhlak mulia malah gelaran kehormatan ini turut melambangkan komitmen bersama dalam menjadikan ilmu sebagai cahaya serta amal sebagai bakti Selain itu, mengikut 4ICU 2025, UMSU juga merupakan antara universiti Islam terbaik di dunia,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN