SHAH ALAM: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyasarkan kutipan wakaf tunai meningkat sehingga enam peratus iaitu RM14 juta bagi tahun ini berdasarkan prestasi RM13 juta pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Hamzah Tohar berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai yang turut didorong keadaan ekonomi negara yang lebih baik dan tahap kesedaran pewakaf semakin meningkat.
“Setakat Ogos lalu, PWS telah mencapai kutipan wakaf tunai RM6 juta dan akan memperluaskannya lagi kepada syarikat swasta.
“Kebiasaannya, kutipan tinggi akan dibuat pewakaf pada hujung tahun dan kita sasar peningkatan maksimum berjumlah RM14 juta,” katanya ketika ditemui, semalam.
Beliau berkata, wakaf tunai merupakan berniat secara umum untuk berwakaf bagi manfaat umum termasuk kebajikan ummah.
“Sebagai contoh, kita mempunyai projek wakaf tunai iaitu pembinaan sebuah stesen minyak di Sungai Merab, Kajang dan hasilnya akan disalurkan kepada sebuah masjid.
“Apabila melihat ada pembangunan projek, masyarakat lebih yakin kepada pemegang amanah dan ikhlas untuk terus berwakaf,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya turut memperoleh kutipan wakaf khas berjumlah RM27 juta setakat bulan lalu dengan sasaran RM60 juta tahun ini.
“Kutipan sumbangan wakaf itu itu dibuat menerusi ejen-ejen berbanding wakaf tunai yang disalurkan secara terus kepada PWS.
“Pelbagai platform secara dalam talian bagi pewakaf disediakan termasuk perbankan atau potongan gaji dan kini semuanya boleh berwakaf hanya di hujung jari,” jelasnya. – UTUSAN










