KUANTAN: Polis menahan dua lelaki berusia lingkungan 20-an susulan kes pukul membabitkan sekumpulan penunggang motosikal yang tular di media sosial pada malam ambang Merdeka, baru-baru ini.
Kejadian kira-kira pukul 2 pagi pada 31 Ogos lalu di persimpangan lampu isyarat Sungai Isap di sini itu menyebabkan seorang lelaki berusia 30-an, cedera di badan selain patah jari kelingking selepas dipukul beramai-ramai menggunakan topi keledar dan kayu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kedua-dua suspek ditahan sehari selepas kejadian dan kini direman empat hari untuk membantu siasatan.
“Kita sedang mengesan beberapa lagi individu yang terlibat dalam kejadian itu dan melalui maklumat diterima, kejadian dipercayai bermula apabila kereta yang dinaiki mangsa bersama seorang lagi rakannya terlanggar penunggang motosikal sebelum berlaku kekecohan.
“Kedua-dua lelaki itu kemudian melarikan diri dan dikejar sekumpulan penunggang motosikal hingga ke sebuah bengkel. Mangsa kemudian keluar daripada kereta untuk cuba menyelesaikan secara baik sebaliknya dia diserang hingga cedera parah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program ‘Town Hall’ “cegah buli sebelum parah” anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bersama Pejabat Pelajaran daerah di sini hari ini.
Ashari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat, jika sabit kesalahan. – UTUSAN