KULAI: Seorang penumpang kereta Honda City maut manakala pemandunya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah lori lima tan yang diparkir di tepi jalan di Jalan Felda Taib Andak berhampiran Taman Permata, dekat sini malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penguasa Bomba Kanan II, Mohd. Firdaus Juritah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.36 malam.
Katanya, lapan anggota beserta dua jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati telah berlaku kemalangan melibatkan kedua-dua kenderaan. Pemandu kereta iaitu Chan Wen Chong, 29, tersepit namun tidak mengalami kecederaan.
“Manakala penumpang kereta, Chee Wei Yuan, 23, dilaporkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Firdaus, operasi menyelamat itu kemudian ditamatkan pada pukul 11.20 malam. – UTUSAN