KANGAR: Penulis terkemuka, Rejab Ismail, 84, atau lebih dikenali dengan nama pena Rejab F.I. meninggal dunia, awal pagi ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Tanjung Gorah, Repoh, di sini kira-kira pukul 4 pagi di sisi isteri, Fatimah Taha,82, dan anak ketiganya, Rizal Irwandi Rejab,50.
Rejab difahamkan sudah lama mengalami keuzuran atas faktor usia.
Jenazah dijangka disolatkan di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kembung, Kampung Repoh hari ini.
Allahyarham dilahirkan di Kampung Bongkok, Padang Lati, Jalan Santan pada 12 September 1941.
Sepanjang penglibatan dalam dunia penulisan dan sastera, Rejab telah mengecapi pelbagai pencapaian membanggakan termasuk menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada 2016.
Selain itu, anak kelahiran Perlis itu juga telah menghasilkan lebih 135 judul buku, termasuklah 45 buah novel (kanak-kanak, remaja dan dewasa), 23 antologi cerpen (termasuk kumpulan cerpen) dan empat buah kumpulan puisi, di samping judul-judul yang lain.
Allahyarham juga pernah menghasilkan 15 skrip drama televisyen, 20 skrip drama radio dan empat skrip drama pentas, di samping sejumlah lebih 200 buah cerpen dan lebih 400 buah puisinya tersiar dalam pelbagai penerbitan tanah air.
Antara penerbitan yang penting adalah kumpulan cerpen Papervine yang menghimpunkan 24 buah cerpen terbaik beliau malah turut diterbitkan semula dalam Edisi Karya Malar Segar Penerima SEA Write Award tahun ini.
Selain itu, beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Nasional (1971 dan 1972), Hadiah Sastera Esso-GAPENA (1985) dan Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1994, 1995, 1996, 1997, dan 1999).
Malah, beberapa buah karya beliau turut terpilih sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) dan teks Kesusasteraan Melayu misalnya novel Sejambak Bakti (teks KOMSAS Tingkatan Satu Zon Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Johor).
Di samping itu, beberapa puisi dan cerpen dihasilkannya juga pernah diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti Rusia, Mandarin dan Bahasa Inggeris.-UTUSAN