Pengasingan kuasa Peguam Negara, pendakwa raya langkah bersejarah kerajaan Pusat - Utusan Malaysia

Pengasingan kuasa Peguam Negara, pendakwa raya langkah bersejarah kerajaan Pusat

ABDULLAH HAKIM AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Biro Undang-Undang PKR Pahang menyifatkan keputusan kerajaan mengasingkan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya sebagai langkah berani serta bersejarah dalam usaha memperkukuh sistem keadilan negara.

Keputusan tersebut dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 September lalu, selepas pembentangan model pengasingan kuasa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ketua Biro Undang-Undang PKR Pahang, Abdullah Hakim Ahmad berkata, pengasingan kuasa ini kunci kepada pelaksanaan semak dan imbang yang berkesan dalam sistem perundangan negara.

“Peguam Negara bertanggungjawab bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan, manakala pendakwa raya bertanggungjawab mendakwa sesiapa sahaja termasuklah kerajaan sendiri.

“Apabila kedua-dua kuasa ini di bawah satu pentadbiran, maka akan wujud risiko pendakwaan terpilih dan unsur pengaruh politik yang membawa kepada ketidakadilan dan boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

“Oleh itu, langkah yang diambil oleh kerajaan ini adalah benar-benar tepat khususnya dalam memastikan agenda reformasi institusi dapat berjalan dengan baik dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan di Malaysia. Kami percaya bahawa kerajaan yang ada ini benar-benar serius dalam melibatkan keadilan sejagat melihat kepada keputusan berani yang dibuat yang belum pernah dibuat oleh kerajaan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Abdullah Hakim menyeru semua pihak agar menyokong usaha murni ini dan memastikan proses reformasi dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN