Peneroka Felda Wilayah Jengka terima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul - Utusan Malaysia

Peneroka Felda Wilayah Jengka terima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul

RAZAK Daud (kiri) dan Sharifah Zaleha Syed Abu Bakar bersama sijil Tokoh Maulidur Rasul peringkat Felda Wilayah Jengka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Dua peneroka Felda Wilayah Jengka diraikan sebagai Tokoh Maulidur Rasul atas jasa besar mereka dalam memperkukuh pembangunan rohani dan sosial komuniti setempat.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud, 64, dan Sharifah Zaleha Syed Abu Bakar, 69, dari Felda Jengka 21, menerima anugerah itu dalam majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Jengka di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Razak berkata, beliau langsung tidak menyangka kerana segala penglibatan dalam program keagamaan, kegiatan sosial dan bantuan kepada golongan memerlukan dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

“Saya tidak menyangka langsung, apa yang kami lakukan hanyalah tanggungjawab, bukan kerana mahu anugerah,” katanya yang juga Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti serta Pengerusi Badan Masjid Gabungan Felda Wilayah Jengka.

Razak berkata, penghargaan tersebut adalah milik bersama seluruh warga peneroka yang sentiasa berganding bahu dalam menjayakan program keagamaan dan kebajikan.

Sharifah Zaleha pula meluahkan rasa terharu atas pengiktirafan terhadap perjuangannya dalam kegiatan kemasyarakatan sejak 1980. Beliau aktif memimpin Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Jengka 21 dan pernah menjadi Pengerusi GPW Wilayah Jengka, selain giat dalam aktiviti marhaban, berzanji dan pengajian agama.

“Bonda tidak pernah lelah dengan minat ini. Selagi diberi kesihatan, saya akan terus menyumbang kepada masyarakat Felda,” katanya yang kini bergelar nenek kepada 11 cucu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, tokoh seperti Razak dan Sharifah Zaleha wajar dijadikan teladan kerana kejayaan Felda bukan sekadar hasil sawit atau getah, tetapi pada kekuatan iman dan kesediaan berkhidmat.

“Peneroka tulang belakang Felda sejak awal penubuhan. Mereka membina bukan sahaja penempatan, tetapi budaya hidup bermasyarakat berteraskan agama dan nilai murni,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN