SEREMBAN: Tragedi seorang murid lelaki berusia sembilan tahun yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Sabtu lalu menimbulkan kebimbangan penduduk terhadap tahap keselamatan di kawasan sekolah terbabit.
Seorang suri rumah yang rumahnya berdekatan dengan sekolah itu, Suliati Mohd. Nor, 52, berkata, dia sebelum ini sudah beberapa kali melihat murid berkumpul dan bermain di kawasan belakang sekolah.
“Rumah saya berada di belakang sekolah. Hari persekolahan biasa kawasan itu tidak digunakan kerana pagar ditutup tetapi apabila ada sukan murid akan berada di situ.
“Saya sendiri pernah menegur mereka supaya jangan bermain di kawasan itu kerana tidak selamat. Saya tidak sangka akhirnya berlaku juga kejadian yang meragut nyawa,” katanya ketika ditemui.
Suliati turut berpendapat pihak sekolah perlu mengambil langkah segera seperti memasang pagar atau penghadang bagi mengelak kawasan berisiko itu terus menjadi tumpuan murid.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Anuar Nasir, 57, pula mendakwa saluran lubang kumbahan sedalam 1.8 meter itu hanya ditutup dengan penutup jenis fiber dan mudah dialihkan sekali gus berbahaya kepada murid sekolah rendah.
“Penutupnya ringan dan nipis, kanak-kanak pun boleh angkat. Kawasan itu pula digunakan untuk perbarisan rumah sukan.
“Budak sekolah rendah selalunya suka mencuba dan tidak tahu bahaya. Perkara ini sepatutnya boleh dicegah jika tindakan awal diambil, seperti memasang pagar atau penghadang,” katanya.
Menurutnya, pihak berwajib termasuk sekolah perlu lebih peka terhadap aspek keselamatan infrastruktur bagi mengelakkan tragedi sama berulang.
Sabtu lalu, media melaporkan seorang murid lelaki berusia sembilan tahun, Abdul Fattah Khairul Rizal meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan ketika kejohanan sukan olahraga di sebuah sekolah di Lenggeng.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, siasatan awal mendapati, pada pukul 9.20 pagi, mangsa dilihat orang awam terjatuh ke dalam saluran kumbahan berkenaan ketika program sukan berlangsung.
“Orang awam yang berada di lokasi kejadian berjaya mengeluarkan mangsa sebelum pasukan bomba tiba sebelum dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya.-UTUSAN.










