PETALING JAYA: Pendapatan nelayan di negara ini semakin merosot berikutan hasil tangkapan ikan di beberapa negeri mencatat penurunan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Trend penurunan tersebut direkodkan di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang dengan kehilangan hasil berbilion ringgit dipercayai berpunca daripada pencerobohan bot asing, kos operasi yang meningkat dan faktor cuaca.
Ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan para nelayan pantai dan laut dalam yang kebanyakannya adalah orang Melayu, tetapi juga memberi kesan kepada harga ikan di pasaran.
Malah, dibimbangi impak lebih besar akan mempengaruhi ekonomi negara yang selama ini turut disumbangkan melalui sektor perikanan susulan ketidakstabilan hasil tangkapan sumber protein utama itu.
Di Pulau Pinang, jumlah pendaratan ikan menunjukkan penurunan agak ketara pada tahun lepas jika dibandingkan dengan kadar pendaratan ikan sekitar empat atau lima tahun sebelum itu.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan (DOF) negeri, sebanyak 39,231.34 tan metrik ikan berjaya didaratkan sepanjang tahun lepas berbanding 51,694.48 dan 56,848.52 tan metrik ikan yang didaratkan pada tahun 2019 dan 2020.
Ini menunjukkan kadar penurunan yang agak tinggi iaitu antara 12,463 sehingga 17,617.18 tan metrik sekali gus memberi kesan ekonomi serta nelayan itu sendiri.
Mengulas mengenai perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, antara faktor yang menyumbang ke arah trend penurunan itu ialah pengurangan bot nelayan yang beroperasi sejak 2023 yang sekali gus menjejaskan kapasiti tangkapan harian.
Beliau berkata, berdasarkan data, bilangan bot atau vesel yang beroperasi menurun daripada 2,511 buah pada 2021 kepada hanya 2,168 buah pada 2024.
“Selain itu, keadaan cuaca buruk seperti ribut, hujan lebat dan laut bergelora juga menjejaskan keberadaan nelayan untuk turun ke laut secara konsisten,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Di Selangor pula, hasil tangkapan ikan nelayan bot kecil atau kelas ‘A’ di Sabak Bernam dan Kuala Selangor didapati turun secara signifikan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini sehingga mencecah lebih 50 peratus.
Malah, golongan nelayan menyatakan sumber pendapatan terjejas ketara apabila hanya peroleh sekitar RM60 sehari berbanding RM150 hingga RM200 sebelum ini.
Tangkapan sumber protein itu didakwa berkurangan atas pelbagai faktor termasuk pencerobohan nelayan kelas ‘B’ dan ‘C’ ke kawasan yang tidak sepatutnya, pelanggaran undang-undang seperti penggunaan pukat tunda atau bubu naga, pencerobohan nelayan asing serta pencemaran.
Sementara di Kelantan, berdasarkan rekod Jabatan Perikanan negeri, jumlah pendaratan ikan pada tahun lalu hanya mencecah 58,114.89 tan metrik dengan nilai borong dianggarkan RM615.46 juta.
Angka tersebut jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya yang pernah merekodkan lebih 100,00 tan metrik ikan telah didaratkan di negeri ini pada 2017 dengan nilai borong mencecah RM1.16 bilion.
Trend itu membimbangkan nelayan di negeri ini yang bergantung sepenuhnya kepada sumber laut, pada masa sama ia memberi isyarat jelas bahawa hasil marin semakin tertekan akibat faktor cuaca, pencerobohan bot asing serta kos operasi yang kian meningkat.
Sementara itu, di Kedah dan Terengganu masing-masing mencatatkan pendaratan ikan tidak menentu dengan beberapa kali mengalami penurunan ketara sebelum kembali meningkat.
Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Kedah, tahun 2016 merekodkan pendaratan tertinggi iaitu 1,574,446 tan metrik, manakala tahun terendah dicatatkan pada 2023 dengan hanya 1,270,277 tan metrik. Pada tahun 2024, ia melonjak 9.6 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 1.392,130 tan metrik.
Manakala di Terengganu, berdasarkan statistik rasmi Jabatan Perikanan Negeri Terengganu diperoleh Utusan Malaysia, pada 2020, jumlah pendaratan direkodkan sebanyak 37,226.98 tan metrik namun, jumlah itu menurun kepada 30,646.56 tan metrik pada 2021, iaitu penurunan lebih 6,500 tan metrik.
Bagaimanapun, 2022 menyaksikan sedikit pemulihan apabila jumlah pendaratan meningkat kepada 33,693.18 tan metrik hasil daripada pertambahan bilangan bot nelayan yang kembali beroperasi selepas kekangan sebelumnya.
Trend positif ini berterusan pada 2023, apabila pendaratan melonjak kepada 45,699.06 tan metrik iaitu angka tertinggi dalam tempoh lima tahun. Peningkatan tersebut didorong oleh peningkatan operasi bot penangkapan ikan, keadaan cuaca yang lebih baik, serta permintaan pasaran yang tinggi terhadap hasil laut.
Namun, pada tahun lalu, jumlah pendaratan kembali mencatat penurunan kepada 39,657.40 tan metrik. Penurunan hampir 6,000 tan metrik itu disebabkan keadaan cuaca yang kurang menggalakkan termasuk hujan lebat dan angin kuat yang menjejaskan aktiviti laut. Selain itu, pengurangan operasi bot turut menyumbang kepada kemerosotan jumlah tangkapan. – UTUSAN










