SEREMBAN: Aktiviti pendakian di Gunung Besar Hantu, Jelebu dan Trans Naning, Tampin diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan Malim Gunung Perhutanan yang berdaftar bermula 1 Oktober ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan negeri bagi memperkukuh aspek keselamatan dan pemuliharaan alam sekitar di kawasan hutan simpan yang semakin popular sebagai destinasi ekopelancongan.
“Setakat ini seramai 77 orang Malim Gunung Perhutanan telah berdaftar pada tahun 2025 dan kumpulan itu bakal memainkan peranan penting membantu jabatan mengurus serta memantau trek pendakian.
“Hasil daripada pendaftaran ini, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dapat bekerjasama dengan Malim Gunung Perhutanan dengan lebih erat dalam pengurusan trek pendakian dan menjadikan mereka sebagai mata dan telinga pihak jabatan dalam memastikan kawasan ekopelancongan terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Ekspresi Alam: Peluncuran Publisiti Ekopelancongan Hutan Negeri Sembilan di Seremban.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim.
Aminuddin berkata, selain bertanggungjawab mengiringi pendaki, malim gunung turut diberi mandat bagi melaporkan sebarang aktiviti yang boleh merosakkan khazanah alam termasuk pencerobohan hutan, vandalisme dan pembuangan sampah.
Menurutnya, langkah mewajibkan khidmat malim gunung itu turut membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat sekali gus menyokong agenda kerajaan negeri dalam memperkasakan sektor ekopelancongan.
Sementara itu, Zahari berkata, kerajaan Negeri Sembilan melakar pencapaian baharu apabila meluluskan Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 2025 pada 5 Ogos lalu yang akan berkuat kuasa mulai 16 Oktober ini.
“Negeri Sembilan menjadi negeri ketiga selepas Perlis dan Wilayah Persekutuan menerima pakai pindaan Akta Perhutanan Negara 2022 yang membolehkan penguatkuasaan lebih berkesan dalam pengurusan hutan simpan,” katanya.
Sambil itu, katanya, beberapa projek utama turut dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan peruntukan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.
“Antaranya ialah Projek Kajian Penanaman Pokok Bakau dan Spesies Persisiran Pantai Lain di Persisiran Pantai Negara dengan peruntukan serta projek menaik taraf infrastruktur di Taman Eko- Rimba Gunung Datuk,” katanya.-UTUSAN.










