KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyerahkan laporan lengkap berhubung kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin dalam masa terdekat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk proses inkues selanjutnya.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail bagaimanapun berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan kertas siasatan itu kerana siasatan kerana melibatkan pelbagai pihak dan agensi
“Ketika ini proses siasatan sedang berjalan. PDRM akan membuat satu tindakan yang lebih baik dengan kata lain ia akan menjadi lebih sempurna.
“Hal ini kerana banyak perkara yang perlu kita (PDRM) perlu siasat. Insya-Allah dapat kita laksanakan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Pegawai Awam PDRM Ke-17 Sempena Peringatan Hari Polis Ke-218 di sini hari ini.
Hadir sama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr. Adnan Mat Dian.
Media semalam melaporkan, keperluan inkues berkait kes kematian Allahyarham Syamsul Haris hanya akan diputuskan selepas AGC menerima laporan lengkap siasatan polis.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata setakat ini AGC belum menerima laporan itu daripada polis yang difahamkan masih lagi menunggu laporan penuh bedah siasat kedua daripada pihak hospital.
Menurut beliau, pihaknya difahamkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melengkapkan siasatan dalam masa terdekat.-UTUSAN










