ALOR SETAR: Pas menyatakan kesediaan mengemudi negara sekali gus menampilkan calon Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin daripada parti itu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mereka akan menjadi kerajaan dengan berpegang kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan berasaskan pentafsiran Islam yang sebenar.
Kata beliau, parti itu sama sekali tidak akan meminggirkan hak dan kepentingan kaum lain selaras dengan konsep masyarakat majmuk.
“Semua pihak perlu percaya bahawa hanya Islam agama yang sempurna, adil dan rahmat yang dapat menyatukan masyarakat majmuk dengan harmoni dan selamat.
“Inilah komitmen yang akan terus dipegang oleh Pas sebagai suatu janji kepada rakyat bukan Islam iaitu Islam mendahulukan perdamaian dan persaudaraan, tanpa paksaan dalam beragama walaupun Islam berkuasa sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.
Tambah Abdul Hadi, Islam juga mewajibkan pemerintah untuk bersikap adil kepada semua selain mengizinkan penganut agama lain melaksanakan apa-apa yang diizinkan oleh agama mereka dengan sempadan menjaga sensitiviti umat Islam.
Kata beliau, Islam pada masa sama menyuruh umatnya menjaga sensitiviti penganut bukan Islam, sehingga termasuk dalam perkara aqidah ketuhanan.-UTUSAN.










