Pahang pertimbang token kepada penjawat awam Persekutuan - Utusan Malaysia

Pahang pertimbang token kepada penjawat awam Persekutuan

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) ketika menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Pahang di Datan Pekan Bandar Diraja di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Penjawat awam Persekutuan di negeri ini berkemungkinan menerima saguhati khas atau token apabila kerajaan negeri sedang meneliti cadangan pemberiannya sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat bakti mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu kini dalam penelitian Bahagian Kewangan Negeri bagi menentukan jumlah penerima serta implikasi kewangan sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Saya memikirkan hendak beri kepada semua penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Pahang, tapi kerajaan negeri tidak mampu untuk beri kepada semua.

“Kita belum ada keputusan muktamad, tapi kita akan fikir mungkin akan bagi secara ‘token’ sama ada RM200 atau RM300 dan ia bergantung kepada simulasi kewangan yang akan dikemukakan kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Pekan Bandar Diraja di sini hari ini.

Menurut Wan Rosdy, pemberian itu akan memberi tumpuan kepada kumpulan berpendapatan bawah RM3,000 hingga RM4,000.

“Kita cuba berlaku saksama walaupun mungkin tidak dapat adil sepenuhnya, yang penting kita hargai perkhidmatan mereka di negeri ini. Sebelum ini, kerajaan negeri pernah memberi bantuan kepada doktor dan petugas Kementerian Kesihatan semasa pandemik Covid-19 sebagai menghargai pengorbanan mereka bekerja tanpa mengira masa,” jelasnya.

Sementara itu, Wan Rosdy menegaskan penjawat awam negeri tetap akan menerima bantuan khas kewangan seperti lazimnya setiap tahun.

“Semuanya bergantung kepada kedudukan kewangan semasa kerana kita baru menerima kira-kira RM850 juta hasil negeri dan ada lebih kurang RM150 juta lagi yang boleh membantu kita melepasi sasaran tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN