BESUT: Penduduk di Pulau Perhentian di sini khuatir bangunan masjid di pulau tersebut runtuh sekiranya hakisan pantai tidak segera dibaiki sebelum Monsun Timur Laut (MTL).
Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ar-Rahman Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, ketika ini pagar di bahagian belakang masjid sepanjang 18.2 meter telah roboh akibat ombak besar serta hakisan pantai pada Januari lalu.
“Selain pagar, hakisan mengakibatkan struktur bangunan bahagian belakang masjid juga roboh. Ia belum dibaiki meskipun beberapa kali aduan dilakukan kepada pihak terlibat.
“Kami bimbang jika tidak segera dibaiki sebelum ketibaan musim bah ini menyebabkan runtuhan semakin parah sewaktu musim tengkujuh. Tambahan sebahagian masjid ini berada di atas laut” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Perhentian.
Katanya, air laut telah mengalir ke bahagian bawah masjid ekoran batu penahan ombak digunakan dihanyutkan yang mengakibatkan struktur bangunan rosak dan terdapat rekahan di tiang serta dinding bangunan itu.
Abdul Aziz berkata, masjid yang mula beroperasi sejak 2013 itu adalah satu-satunya masjid di Pulau Perhentian yang digunakan untuk pelbagai aktiviti keagamaan serta solat Jumaat yang mampu menampung kira-kira 500 jemaah dalam satu-satu masa.
“Sekiranya tiada sebarang tindakan dilakukan oleh pihak berwajib kami ahli jawatankuasa masjid dan orang kampung telah sepakat untuk menggunakan kewangan daripada tabung masjid untuk membaiki bahagian yang rosak buat sementara waktu.
“Jika jumlah wang yang ada tidak mencukupi kami berkemungkinan terpaksa membuat pungutan derma bagi menampung kos pembaikian itu,” katanya.
Sementara itu, bilal masjid tersebut, Mahasan Ab. Razak berharap masjid yang merupakan salah satu tarikan pelancongan di pulau itu dapat dipertahan daripada rebah menyembah bumi akibat masalah hakisan.
Katanya kerjasama semua pihak dan jabatan bertanggungjawab sangat diperlukan bagi memastikan masjid tersebut dapat ‘diselamatkan’.-UTUSAN.










