KUALA PILAH: Sebuah masjid baharu bernilai RM2.2 juta bakal siap menjelang awal tahun depan sekali gus memberikan kemudahan kepada penduduk Kampung Terentang di sini.
Masjid berkenaan merupakan antara kemudahan serta infrastruktur yang dibina sempena Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, masjid itu adalah bagi menggantikan masjid lama yang dibina pada tahun 1962.
“Di kampung ini sedang giat berjalan kerja-kerja membina masjid yang baharu menggantikan masjid lama yang telah kita runtuhkan. Masjid baharu ini dijangka akan siap pada hujung tahun ini ataupun Januari tahun depan.
“Insya-Allah, boleh digunakan pada bulan Ramadan dan juga untuk solat Aidilfitri pada tahun hadapan. Kapasiti jemaah juga meningkat dari 400 kepada 700 individu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Balai Raya Kampung Terentang, di sini, hari ini.
Azam berkata, secara keseluruhan sumbangan kepada Kampung Terentang menerusi program berkenaan adalah bernilai kira-kira RM 2.6 juta termasuk RM400,000 bagi pembinaan balai raya baharu.
“Di kampung Terentang ini, tidak ada lagi menggunakan duit Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) tetapi rakan-rakan korporat daripada luar untuk membuat sumbangan seperti balai raya dan masjid ini.
“Sumbangan juga adalah termasuk derma-derma daripada pegawai-pegawai untuk menyantuni Kampung Terentang ini yang pada saya tidaklah begitu besar kecuali masjid dan juga balai raya. Kedua-duanya disumbang oleh tokoh-tokoh korporat yang bermurah hati untuk menyumbang kepada kampung ini,” katanya.
Dalam pada itu, Azam berkata, bagi inisiatif Sekolah Angkat Madani Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang telah dipilih sebagai sekolah angkat, dengan projek pertama melibatkan pemasangan 16 unit penyaman udara di Dewan Seri Delima bernilai RM100,000 yang kini dalam proses penyaluran peruntukan.-UTUSAN.










