Masih untung walau jual nasi lemak RM1

Masih untung walau jual nasi lemak RM1

FATIN Nabilah Ibrahim (kiri) melayani pelanggan di gerai nasi lemaknya di Pasar Maras, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Harga barang mentah yang tidak menentu tidak menghalang seorang wanita menjual nasi lemak pada harga RM1 sebungkus sejak tiga tahun lalu.

Fatin Nabilah Ibrahim, 24, dari Kampung Padang Kemun­ting di sini berkata, meski keuntungan yang diperoleh kecil, dia tetap bersyukur dan yakin dengan rezekinya.

Dia yang dibantu suami, Mohd. Izzat Haikal Mohd Zawawi, 26, berkata, mereka bersama-sama menyediakan nasi lemak seawal pukul 4 pagi sebelum keluar berniaga pukul 6.30 pagi.

“Setiap hari, saya menjual nasi lemak di Tapak Pasar Malam Wakaf Tengah manakala pada hujung minggu pula di Pasar Maras pada sebelah pagi dan di Pantai Tok Jembal pada sebelah petang.

“Saya bangun seawal pukul 4 pagi untuk memasak nasi lemak sebelum keluar berniaga bermula pukul 6.30 pagi. Biasanya, nasi lemak habis dijual sekitar pukul 9 pagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Menurut Fatin Nabilah, dia menyediakan kira-kira 80 bungkus nasi lemak setiap hari manakala pada hari minggu sebanyak 100 bungkus.

Katanya, walaupun harganya murah, dia mempunyai pelanggan tetap yang sentiasa menanti jualannya setiap hari.

“Nasi lemak berharga RM1 yang dijual disertakan sambal bilis dan sepotong telur rebus. Kalau saya tidak berniaga, pasti ada bertanya. Ada pelanggan beli untuk bekal anak ke sekolah malah ada yang membeli untuk tujuan infak. Saya pernah menerima tempahan sebanyak 1,000 bungkus nasi lemak untuk disedekahkan,” ujarnya.

Menurutnya, selain menjual secara harian, dia menerima tempahan untuk pelbagai majlis termasuk untuk sumbangan amal dan kebajikan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN