Litar motocross Sungai Batu Pahat kembali hidup - Utusan Malaysia

Litar motocross Sungai Batu Pahat kembali hidup

AKSI pelumba dalam pertandingan Perlis Open Track Day Motocross di litar motocross Sungai Batu Pahat, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Litar motocross di Sungai Batu Pahat di sini kembali hidup, sekali gus merancakkan semula sukan permotoran di Perlis.

Litar berkenaan yang sebelum ini terbiar telah selesai melalui proses naik taraf tahun lalu melalui peruntukan sebanyak RM400,000 dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Semalam, trek berkenaan kembali meriah dengan penganjuran Perlis Open Track Day Motocross 2025 anjuran Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan dengan kerjasama Kelab Unity Kangar yang menghimpunkan lebih 30 pelumba.

Senator, Azahar Hassan berkata, penganjuran Perlis Open Track Day Motocross itu ialah sebagai merasmikan penggunaan semula litar berkenaan selepas sekian lama terbiar tanpa sebarang aktiviti atau sukan permotoran di situ.

Katanya, meskipun dalam keadaan hujan, namun pertandingan tersebut mendapat sambutan cukup hebat dengan kehadiran lebih 800 orang bagi menyaksikan perlumbaan berkenaan.

Ujar beliau, lokasi berkenaan akan terus dihidupkan dengan penganjuran perlumbaan motocross selain aktiviti berkaitan pelancongan.

“Litar berkenaan sudah selesai melalui proses naik taraf dengan peruntukan RM400,000 dari KBS. Kita akan menghidupkan semula trek berkenaan termasuk penganjuran motocross peringkat kebangsaan dan ASEAN selepas ini.

“Selain itu, kira-kira 17 program dan aktiviti telah diatur di lokasi tersebut sehingga tahun depan termasuk aktiviti berkaitan pelancongan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Katanya lagi, sukan motocross di Perlis cukup popular namun sebelum ini kebanyakkan peminat sukan itu tidak mempunyai trek untuk beraksi.

“Selepas ini, mereka boleh berlatih di litar berkenaan pada setiap hari dan akan dikenakan sedikit bayaran untuk digunakan bagi penyelenggaraan di trek berkenaan.

“Apabila litar berkenaan kembali dibuka ia sekali gus bakal memperkasa semula sukan permotoran di Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN