ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya lima orang maut, manakala lebih 12 yang lain berjaya diselamatkan selepas bot membawa mangsa pemindahan banjir terbalik di wilayah Punjab selatan, semalam.
Bot berkenaan dilaporkan terbalik di daerah Multan akibat arus deras, namun sebahagian besar mangsa berjaya diselamatkan.
Sebelum ini, pesuruhjaya bantuan, Nabil Javed berkata, banjir dari Sungai Ravi, Sutlej dan Chenab menjejaskan lebih 4,100 kampung, sekali gus memaksa lebih dua juta penduduk berpindah.
Pihak berkuasa menubuhkan 423 pusat bantuan, 512 kemudahan perubatan dan 432 pos veterinar bagi melindungi penduduk serta ternakan.
Lebih 1.5 juta haiwan dipindahkan, manakala sekurang-kurangnya 50 orang terkorban akibat banjir musim ini,’ kata Javed.- AGENSI










