Legasi 100 tahun tukang logam tiada pewaris

Legasi 100 tahun tukang logam tiada pewaris

YONG Ah Kow sedang menyiapkan peralatan logam tempahan pelanggan di bengkel kecilnya di Jalan Hang Kasturi, Melaka.-UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Kalau saya sudah tiada, habislah. Tiada siapa lagi mahu buat kerja ini,” demikian luahan tukang barangan logam, Yong Ah Kow, 75, yang mengusahakan perusahaan turun-temurun keluarganya sejak lebih 100 tahun lalu di Jalan Hang Kasturi di sini.

Ah Kow berkata, dia sendiri sudah lebih setengah abad mengabdikan diri dalam bidang itu namun gusar kerana tiga anaknya mempunyai kerjaya masing-masing dan tidak berminat menyambung legasi itu.

“Saya belajar kemahiran ini daripada mendiang bapa, sejak kecil lagi sudah biasa dengan bunyi ketuk logam tetapi sekarang generasi muda sudah tidak minat kerja sebegini malah anak-anak pun semua ada kehidupan sendiri.

“Kalau saya tiada nanti, saya rasa perniagaan ini akan berhenti begitu sahaja, sayang sebab kerja ini bukan senang dan bukan semua orang ada kemahiran begini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walaupun usia semakin lanjut, Ah Kow masih tekun me­nyiapkan pelbagai barangan lo­gam menggunakan keluli tahan karat, tembaga dan zink mengikut permintaan pelanggan.

Antara barangan dihasilkannya adalah baldi, takungan air, bekas pemanas, peralatan membuat kuih termasuk acuan putu piring.

Katanya, setiap tempahan memerlukan ketelitian kerana kesilapan kecil bakal mengakibatkan kerugian.

“Misalnya acuan putu piring, harganya lebih RM1,000 dan mengambil masa seminggu untuk disiapkan. Ia mesti dibuat dengan teliti, kalau salah ukuran atau potongannya, rugi.

“Sekarang harga bahan mentah pun semakin mahal, jadi saya terpaksa naikkan sedikit harga tetapi pelanggan faham kerana mereka tahu kualitinya, saya buat kerja ini bukan untuk kaya cukup sekadar menyara hidup,” katanya.

Bengkel kecil milik Ah Kow yang terletak di tengah bandar raya Melaka menjadi saksi kepada seni warisan tangan yang kian pupus ditelan zaman.

Meskipun masih mendapat tempahan daripada pelanggan setia, Ah Kow khuatir kemahiran membuat barangan logam itu akan lenyap tanpa pewaris.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×