KANGAR: Lapangan terbang di negeri ini menjadi antara perancangan jangka panjang yang dikemukakan di dalam Draf Rancangan Struktur Perlis 2040 (Kajian Semula).
Terdapat lima teras, 14 hala tuju strategik, 65 strategi perancangan dan 256 inisiatif pelaksanaan dikemukakan di dalam draf rancangan berkenaan.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang di Perlis itu dijangka membabitkan kawasan Chuping di Padang Besar.
Katanya, ia adalah satu pelan jangka masa panjang yang dijangka disiapkan menjelang 2040.
“Jika dilihat daripada perancangan itu, kita memang sedang bergerak ke arah itu (pembinaan lapangan terbang) dan Insya-Allah ia boleh dicapai dan ini juga seperti disarankan oleh Tuanku Raja Muda Perlis (Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail) supaya ia dapat dibina bersempadanan dengan Thailand.
“Ia bertujuan agar perkhidmatan penerbangan tersebut dapat dinikmati oleh pelancong atau rakyat dari negara jiran. Kita yakin lapangan terbang ini nanti dapat menampung pengguna penerbangan dan ini memang hasrat kita. Selain tujuan komersial, lapangan terbang ini juga mampu menarik pelabur untuk datang melabur ke negeri ini.
“Pesawat komersial seperti Boeing 737 adalah antara pesawat yang dapat menggunakan lapangan terbang ini sekiranya siap kelak. Di negara ini, Perlis dan Negeri Sembilan adalah negeri yang tidak mempunyai sebarang lapangan terbang komersial,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Perlis 2040 (Kajian Semula) dan Majlis Pelancaran Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030 di Dewan 2020 di sini hari ini.
Tambah Mohd. Shukri, berdasarkan kerangka salah satu inisiatif draf berkenaan menerusi peningkatan aksesibiliti antarabangsa rentas sempadan dan domestik, cadangan pembinaan lapangan terbang itu adalah salah satu inisiatif yang menjadi perancangan dalam draf berkenaan.
Katanya, antara cadangan dalam draf itu yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan termasuklah cadangan ‘bonded road’ Padang Besar-Pelabuhan Darat Perlis (PIP), Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Padang Besar ke Johor Bahru dan Asean Express Freight Train Kelana Jaya, Selangor ke Chongqing, China (menggunakan PIP ‘spurline’ ke Padang Besar).
“Selain itu, terdapat cadangan Lebuh Raya Koridor Utara (Padang Besar-Bukit Kayu Hitam), Jalan Pesisiran Pantai Kedah-Kuala Perlis dan cadangan Pelabuhan Sanglang, Transit hub Perlis Sentral,
“Antara lain, cadangan Stesen Konsep Transit Oriented Development (TOD) di Padang Besar, Bukit Keteri dan Arau, cadangan laluan baharu untuk kereta api barang (Rail Spur Line) serta cadangan Perkhidmatan Automated Rapid Transit (ART),” katanya.-UTUSAN