COPENHAGEN: Lapangan terbang di Copenhagen dan Oslo dibuka semula pada Selasa, beberapa jam selepas dron tidak dikenali menceroboh ruang udara dan menyebabkan penerbangan terpaksa dilencongkan serta mengganggu jadual perjalanan.
Di ibu negara Denmark, polis berkata beberapa dron bersaiz besar dilihat berlegar di ruang udara lapangan terbang selama beberapa jam semalam.
“Dron itu sudah hilang dan lapangan terbang kini dibuka semula. Kami tidak menembak jatuh dron itu,” kata Timbalan Inspektor Polis, Jakob Hansen, kepada pemberita.
Hansen berkata, polis bekerjasama dengan pihak tentera dan perkhidmatan risikan Denmark untuk mengenal pasti dari mana dron tersebut datang.
Beliau turut memaklumkan, pihaknya bekerjasama dengan rakan sejawatan di Oslo selepas kelibat dron di ibu negara Norway itu juga menyebabkan lapangan terbang ditutup selama beberapa jam.
“Kami menerima dua laporan berbeza mengenai kelibat dron. Kami membuka semula lapangan terbang sekitar pukul 3.15 pagi,” kata jurucakap Lapangan Terbang Oslo, Monica Fasting, kepada AFP.
Sepanjang penutupan itu, beberapa penerbangan dilencongkan ke destinasi berhampiran, dan pihak berkuasa di kedua-dua lapangan terbang menjangkakan kelewatan serta gangguan perjalanan masih berterusan pada Selasa.
Insiden itu berlaku selepas kerajaan Poland, Estonia dan Romania menuduh Russia menceroboh ruang udara mereka bulan ini, tuduhan yang dinafikan Moscow.
Ditanya sama ada dron di ruang udara Lapangan Terbang Copenhagen mungkin datang dari Russia, Hansen bagaimanapun tidak dapat mengesahkan perkara itu.- AFP











