KPDN sedia bawa cadangan beli barang basah guna SARA - Utusan Malaysia

KPDN sedia bawa cadangan beli barang basah guna SARA

FUZIAH Salleh menyerahkan replika 'Kad Diskaun Khas' Menu Rahmah kepada Wan Ahmad Hafidzul Wan Sulong, 39, di gerainya di Pekan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia mengemukakan cadangan supaya penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut dibenarkan membeli barangan basah menggunakan bantuan tersebut.

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, perkara itu akan dibawa ke perhatian Kementerian Kewangan (MoF) kerana ketetapan senarai barangan yang boleh dibeli menggunakan SARA ditentukan oleh kementerian berkenaan.

“Pada masa ini penerima SARA hanya boleh mendapatkan barangan dalam 14 kategori yang telah ditetapkan MoF dan saya akan membawa perkara ini kepada kementerian itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Jom Cari Menu Rahmah di Tanjung Gosong di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang luahan penerima inisiatif kerajaan itu yang memohon agar kerajaan mempertimbangkan supaya mereka juga boleh menggunakan SARA untuk mendapatkan barangan basah seperti ayam segar, ikan dan sayur-sayuran.

Buat masa ini, penerima SARA boleh mendapatkan pelbagai barangan daripada 14 kategori yang diumumkan kerajaan merangkumi barangan keperluan asas antaranya beras, telur, mi segera, makanan dalam tin dan minyak masak.

Sementara itu, berhubung Inisiatif Jom Cari Menu Rahmah, Fuziah menjelaskan inisiatif itu membantu mempromosikan restoran dan kedai makan yang masih kekal menawarkan Menu Rahmah, di seluruh negara.

Katanya, melalui inisiatif itu, masyarakat setempat dapat memperoleh maklumat lebih jelas dan capaian yang lebih mudah berhubung lokasi dan tawaran Menu Rahmah, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan rakyat.

“Pelaksanaan Jom Cari Menu Rahmah berperanan bukan sahaja sebagai wadah promosi lokasi Menu Rahmah di seluruh negara, malah turut memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini mengenai premis yang menyediakan menu berpatutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN