PARIT: Rakan kepada seorang lelaki yang maut tertimbus tanah ketika kerja pengorekan tanah dan pemasangan paip di kawasan pengumpulan pasir sungai di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri di sini kelmarin, kesal kerana tidak berdaya menyelamatkan mangsa.
Dalam kejadian tu, Raja Daniel Iskandar Raja Teh Suhaimi, 25, meninggal dunia apabila tanah yang dikorek tiba-tiba runtuh dan jatuh ke dalam longkang yang digali manakala tiga lagi pekerja yang lain berjaya diselamatkan.
Menurut saksi kejadian itu yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku kira-kira selepas pukul 4.30 petang apabila tebing tanah runtuh kali pertama dan menimpa keempat-empat mangsa.
“Apabila terdengar mereka berempat meminta tolong, kami yang berdekatan cuba menyelamatkan mereka. Namun keadaan menjadi sukar apabila tanah runtuh buat kali kedua,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Seri Iskandar, di sini semalam.
Menurut seorang lagi saksi yang juga enggan dikenali, kejadian tersebut adalah pengalaman pertama mereka sejak hampir lima tahun bekerja bersama sebagai pekerja kontrak.
“Saya sedih kerana masih terbayangkan situasi cemas yang dihadapi mereka memandangkan proses kerja sudah hampir ke penghujung,” katanya.
Kelmarin, Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 5 petang.
Sepasukan lapan anggota bomba kemudian dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Ketiga-tiga mangsa yang tertimbus pada paras dada itu berjaya dikeluarkan pada pukul 6.30 petang dan mereka yang cedera diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke hospital.
“Seorang lagi mangsa ditemukan pada pukul 7.59 malam dan disahkan telah meninggal dunia. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN.









