KANGAR: Inisiatif bagi memperluaskan Jualan Agro Madani khususnya di masjid-masjid lain sekitar negeri ini perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan penganjurannya mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Mohd. Anzara Azizan berkata, bagi tujuan itu, terdapat pegawai telah ditugaskan membuat kajian untuk melihat kesesuaian penganjuran berkenaan di mana-mana masjid yang membuat permohonan.
Menurut beliau, kajian yang dilakukan itu juga akan melihat kepada tiga aspek meliputi nilai jualan, penyertaan usahawan dan jumlah kehadiran pengunjung ke lokasi penganjuran jualan tersebut.
“Kita ada dapat permohonan daripada beberapa masjid yang berminat malah FAMA juga akan lakukan penganjuran untuk percubaan beberapa kali bagi melihat maklum balas masyarakat terlebih dahulu.
“Dan jika maklum balas diterima itu baik maka kita akan teruskan,” katanya selepas Program Jualan Agro Madani Bersempena Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun FAMA Ke-60 di Masjid Al-Istiqamah, Padang Katong, di sini, hari ini.
Penganjuran program itu merupakan sinergi antara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) dan Lembaga Tabung Haji Negeri Perlis dengan turut menyediakan pelbagai pengisian menarik buat para pengunjung.
Antara aktiviti disediakan adalah seperti Jualan Kombo Madani dengan penawaran harga rendah termasuk pembukaan kaunter khidmat oleh Tabung Haji dan pemeriksaan kesihatan asas percuma.
Mengulas lanjut, Anzara berkata, sejak awal tahun ini, FAMA bersama beberapa buah masjid telah bekerjasama melaksanakan Jualan Agro Madani membabitkan seramai 117 usahawan secara kumulatif dengan sebanyak 150 lot perniagaan.
“FAMA juga telah hasilkan nilai jualan bersama usahawan-usahawan ini sebanyak RM220,000 menerusi jualan yang dianjurkan di masjid-masjid sejak awal tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anzara berkata, secara keseluruhannya, setakat ini FAMA telah melaksanakan sebanyak 161 siri Jualan Agro Madani dengan merekodkan nilai jualan berjumlah RM1.9 juta.
Katanya, Jualan Khas Agro Madani turut dilaksanakan di beberapa lokasi terpilih seperti sekolah, premis kerajaan atau Pejabat FAMA negeri dengan merekodkan penglibatan lebih 250 usahawan.
“FAMA sentiasa komited dalam memberi perkhidmatan terbaik buat masyarakat khususnya melalui Jualan Agro Madani yang dijalankan di Outlet Pemasaran FAMA negeri,” katanya.-UTUSAN